USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EMPAT CALON LEPASI PERINGKAT PERTAMA ANUGERAH KEJURUTERAAN UEM 2015

NIBONG TEBAL, 15 Ogos 2014 – Empat orang pelajar kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) dari pelbagai bidang berjaya melepasi temuduga dan penilaian peringkat pertama untuk bersaing memenangi Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM tahun 2015 di sini baru-baru ini. 

Anugerah tersebut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil yang akan diraikan dalam satu majlis khas dan layak diberi tawaran untuk menjadi “UEM Young Engineers Programme (YEP)” atau terus bekerja dengan syarikat tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan UEM Datin Nur Rubaiha Mohamed Nor, kesemua calon dari USM pada tahun ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. 

“Secara keseluruhan, keempat-empat calon USM hari ini sangat hebat dan ini merupakan cabaran kepada pihak UEM untuk membuat pilihan calon yang terbaik yang akan menerima anugerah ini,” kata Nur Rubaiha selaku ketua panel temuduga peringkat pertama anugerah tersebut. 

Katanya, calon-calon yang dipilih pihak universiti pada tahun ini lebih bersedia dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai UEM dengan menunjukkan minat yang tinggi untuk menjadi jurutera yang hebat serta lebih matang ketika menjawab soalan semasa sesi temuduga. 

Nur Rubaiha turut mengakui bahawa siswazah USM sering mendapat perhatian dari syarikat-syarikat gergasi bukan sahaja dari dalam negara malah dari negara-negara luar seperti Singapura, Taiwan, China dan sebagainya. 

Pengurus Besar UEM Builders Berhad, Lokman Hamzah berkongsi pandangan bahawa semua calon yang dikemukakan oleh USM merupakan calon hebat dan mempunyai potensi tinggi dalam bidang kejuruteraan.

“Saya lihat mereka mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi dan berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini seterusnya mampu memberikan sesuatu kepada negara," kata Lokman sebagai panel kedua UEM Group Bhd. 

Calon dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Chuah Wei Hoong, 24, memberitahu tentang minatnya yang mendalam untuk menjadi seorang jurutera dan turut teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga UEM.

“Memenangi anugerah merupakan bonus tetapi saya lebih teruja untuk mengejar cita-cita sejak kecil lagi untuk menjadi seorang jurutera,” kata anak kelahiran negeri Pulau Pinang itu. 

Manakala, calon daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Noorhafizah Mokhtar, 23, berkata, sekiranya menang anugerah ini, dia akan menggunakan ganjaran yang diberi untuk membina alatan khas yang menggunakan teknologi solar bagi membantu memudahkan kerja-kerja di kebun bapanya.

Anak kelapan dari sembilan beradik, Noorhafizah berbangga menjadi pelajar USM dan tidak dapat melupakan suka duka sepanjang empat tahun menimba ilmu di Kampus Kejuruteraan. 

“Saya sering menasihati adik-adik supaya belajar bersungguh-sungguh kerana tidak ada yang mustahil dalam dunia ini, sekiranya kita mempunyai semangat dan usaha untuk menjadi yang terbaik,” kata Noorhafizah. 

Dua calon lain yang hadir sesi temuduga tersebut ialah Sharmizar Abdul Aziz, 23, dan William Ong Chew Fen, 24, masing-masing dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. 

Yang turut hadir sebagai panel jemputan ialah Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Masyarakat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Ir. Dr. Mohamad Razip Selamat; Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Masyarakat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad; Pengerusi Rancangan Mekanikal, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Dr. Mohamad Yusof Idroas dan Pegawai Tadbir, Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan, Mohd Kamil Ashar.

Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 1632

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024