JANGAN PANDANG REMEH DENGKURAN KANAK-KANAK, KATA PAKAR
KUBANG KERIAN, 14 Ogos 2015 – Berdengkur semasa tidur adalah sesuatu yang biasa dialami oleh seorang dewasa yang keletihan atau mempunyai masalah obesiti namun berdengkur bukan sahaja dialami orang dewasa malahan turut dihadapi oleh kanak-kanak.
Menurut Pensyarah Jabatan Otorinolaringologi (ORL), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr Irfan Mohamad, masalah berdengkur dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya berpunca daripada saluran pernafasan atas yang sempit kerana pembengkakan tonsil atau adenoid.
"Tahap dengkuran dipengaruhi oleh penyempitan yang dialami manakala pengaliran melalui saluran pernafasan yang sempit mengakibatkan lelangit bergetar dan menghasilkan bunyi. Semakin sempit saluran pernafasan, semakin kuat bunyi dengkuran," kata Irfan ketika membentangkan pandangannya dalam bengkel dua hari 'ORL-HNS Sleep Workshop 2015' anjuran Jabatan ORL USM baru-baru ini yang dihadiri oleh 30 orang peserta.
Jelasnya lagi, tonsil ialah kalenjar yang terletak bersebelahan anak tekak yang pada awal usia kanak-kanak, saiz tonsil akan membesar sedikit demi sedikit tetapi lama-kelamaan menjadi semakin kecil, menunjukkan mengapa tonsil jarang kelihatan atau jika dapat dikesan pada golongan dewasa, saiznya agak kecil.
"Adenoid pula adalah satu struktur yang menjadi elemen pertahanan badan sewaktu kanak-kanak masih kecil yang terletak di bahagian belakang hidung dan jika adenoid terlalu besar, boleh mengganggu pernafasan kanak-kanak mengakibatkan mereka bernafas melalui mulut lalu menyebabkan dengkuran mudah berlaku," kata Irfan.
Selain dari gejala yang dinyatakan, kanak-kanak yang menghadapi masalah berdengkur ini juga mungkin mengalami tanda-tanda lain yang menjadi penyebab mereka tidak mendapat tidur yang berkualiti.
Hal ini diakui oleh seorang lagi pensyarah ORL USM Dr. Hazama Mohamad yang mengingatkan bahawa kesan daripada tidur tidak berkualiti ini akan menyebabkan mereka sukar bangun pagi serta mengantuk pada siang hari yang boleh menjejaskan prestasi persekolahan.
“Akibat daripada masalah berdengkur serta pernafasan ini, kanak-kanak mengalami masalah ‘sleep apnea’ (berhenti bernafas sewaktu tidur) menyebabkan bekalan oksigen yang rendah sampai ke otak dan masalah ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengakibatkan prestasi otak terjejas.
Jika didapati anak-anak mengalami masalah tersebut, ibu bapa perlu membawa anak mereka mendapatkan rawatan dengan segera kerana diagnosis di peringkat awal adalah penting dan rawatan yang bersesuaian akan digunakan mengikut keperluan pesakit bagi mengelak masalah yang lebih serius timbul jika ianya tidak dirawat dengan segera," kata Hazama.
Sekiranya tonsil adalah punca utama yang menyebabkan berdengkur atau apnea, pembedahan membuang tonsil adalah jalan terbaik.
"Pembedahan itu merupakan prosedur ringkas yang kebiasaannya pesakit akan berada di hospital untuk jangka masa pendek sahaja. Begitu juga adenoid, pembedahan kecil tidak mendatangkan masalah jangka masa panjang malahan memberikan kelegaan kepada mereka yang menghadapinya," kata Hazama lagi.
Rawatan masalah berdengkur ini bergantung kepada punca yang mengakibatkan kanak-kanak itu mengalaminya.
"Ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak mereka mendapat tidur yang berkualiti tanpa dengkuran atau gangguan semasa tidur malah berdengkur bukan perkara kecil yang boleh dijadikan bahan jenaka untuk diketawakan tetapi adalah tanggungjawab semua untuk memastikan anak-anak dapat menikmati tidur yang selesa,"tegas Hazama.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 10078