25 TAHUN PP PENGURUSAN: SASAR SISWAZAH HOLISTIK DAN MEMBANGUN QALBU
PULAU PINANG, 14 Ogos 2015 – Wajar dibanggakan, kejayaan Pusat Pengajian Pengurusan (PPP), Universiti Sains Malaysia (USM) sejak ditubuhkan pada Disember 1989 sehingga ke hari ini merangkumi pelbagai aspek dalam menempa nama sebagai antara peneraju pengajian pengurusan perniagaan terbaik di negara ini yang diiktiraf oleh pelbagai badan terkemuka antarabangsa dalam usaha melahirkan siswazah terbilang yang menjadi rebutan majikan dari dalam dan luar negara.
Dekan PPP, Profesor Dr. Fauziah Md. Taib memberikan pandangan menarik untuk dikongsi bersama MARZIANA MOHAMED ALIAS, SITI NAQUIAH ABDILLAH dan MAZLAN HANAFI BAHARUDIN dalam temubual di pejabatnya baru-baru ini.
Setelah 25 tahun kewujudannya, PPP boleh berbangga kerana tersenarai sebagai antara yang terbaik di dunia dalam penawaran kursus-kursus seperti perakaunan dan pengurusan perniagaan.
Fauziah yang meneruskan legasi kepimpinan dekan-dekan terdahulu dalam memacu kecemerlangan PPP dengan menyeimbangkan kecemerlangan prestasi dengan qalbu, yang pada pandangannya menjadi asas untuk mencipta kejayaan yang berkekalan.
Katanya, qalbu atau rohani yang menyumbang kepada perlakuan dan tingkah laku insan adalah kunci untuk memacu kecemerlangan secara lebih istiqamah atau lestari.
"Kami komited membudayakan konsep kecemerlangan yang seimbang, menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dengan disertai aspek-aspek kerohanian yang positif termasuk jujur dan amanah, bertanggungjawab, akauntabiliti dan sebagainya dengan menggabungkan kecemerlangan akademik dan prestasi dengan nilai kerohanian yang akan memberi refleksi positif kepada pusat pengajian, universiti mahu pun organisasi dan masyarakat seluruhnya," kata Fauziah.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pihaknya mengaplikasikan perkara ini dalam agenda-agenda memacu kecemerlangan di pusat pengajian dan sehingga kini telah menampakkan hasil yang cukup baik dan memberangsangkan, termasuklah dalam melahirkan siswazah holistik yang diidamkan oleh para majikan, yang mampu menjadi pemimpin dan menerajui masa hadapan negara dengan nilai kepimpinan lestari dan berakauntabiliti.
Paling mengujakan katanya, kursus PPP kini tersenarai dalam QS Ranking sebagai kelompok 100-150 terbaik dunia dalam bidang pengurusan dan perniagaan.
Selain itu, program MBA yang pada mulanya diletakkan di bawah PPP dan kini di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) turut tersenarai di tangga ke-25 sebagai Program MBA Terbaik oleh Asia Week Incorporated (1997) yang diikuti dengan pelbagai pengiktirafan demi pengiktirafan termasuk Peneraju Pusat Pengajian Perniagaan di Malaysia dalam Bidang Perakaunan (2003), Most ‘Excellent’ University in Malaysia oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelbagai lagi.
PPP turut diiktiraf badan-badan kelayakan terkemuka negara dan dunia termasuk Malaysian Institute of Accountants (MIA), Institute of Chartered Accountant in England and Wales (ICAEW), The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Australian Society of CPAs (CPA Australia) dan sebagainya.
Dari aspek pembentukan jati diri siswazahnya, Fauziah berkata, PPP saban tahun menerima ribuan permohonan dan hanya sebilangan kecil sahaja yang berjaya ditempatkan di pusat pengajian yang mempunyai 52 orang pensyarah dari pelbagai latar belakang itu yang semua yang dipilih pula bukan calang-calang pelajar kerana terpaksa melalui proses tapisan yang ketat dan telus untuk membolehkan mereka tersenarai.
“Bagi yang terpilih, kita komited untuk membentuk setiap seorang darinya menjadi siswazah yang cemerlang melalui pelbagai program yang disusun meliputi aspek pengukuhan pencapaian akademik seiring dengan pembudayaan nilai tambah lain seperti kepimpinan, keusahawanan, jati diri dan sebagainya yang sangat penting kerana dunia hari ini memerlukan modal insan yang bukan sekadar cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai tambah termasuk kebolehan berkomunikasi dan menguasai lebih dari satu bahasa, kebolehan memimpin dan menyuarakan pendapat, komited dan pelbagai kemahiran lain yang tiada dalam buku teks akademik,’’ katanya.
PPP juga bertuah kerana gabungan kakitangan akademik dari pelbagai latar belakang telah membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif yang dapat memberi kelebihan kepada pelajar.
"Pensyarah yang tinggi pengetahuan akademik akan memupuk pelajar dengan prestasi cemerlang manakala pensyarah yang berpengalaman dalam bidang industri mampu menyuntik aspek-aspek penting yang membolehkan siswazah PPP USM tampil unik dan lain dari yang ada di pasaran kerjaya.
Dan kami mendapat maklum balas sangat positif dari rakan-rakan industri berkenaan siswazah PPP USM dengan sebilangan besar dipuji kerana mempunyai kemahiran luar biasa berbanding yang lain," kata Fauziah.
Malah, katanya lagi ada di antara rakan industri telah mula memancing pelajar PPP sebelum mereka menamatkan pengajian dan prestasi pelajar telah dinilai ketika mereka menjalankan latihan amali dengan peratusan kebolehpasaran siswazah PPP terkini mencapai lebih 90 peratus, satu pencapaian yang cukup tinggi.
Fauziah turut menamakan antara alumni PPP USM yang kini telah cemerlang dan menjawat jawatan-jawatan penting dalam sektor awam mahupun swasta, baik di arena tempatan mahu pun luar negara seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Idris Jala, Menteri Pendidikan Tinggi Indonesia Muhammad Nasir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) National Power Company merangkap ahli syura Arab Saudi, Dr. Fareed Ali, CEO Texchem Industry Brian Tan dan ramai lagi.
Katanya lagi, PPP kini telah melahirkan lebih 13,000 siswazah ijazah pertama dengan enrolmen pelajar semasa sehingga 2014 berjumlah kira-kira 1,700 pelajar ijazah pertama, 391 pelajar ijazah tinggi dan 142 pelajar luar negara yang datang dari lebih 34 negara di seluruh dunia. PPP juga mempunyai kekuatan kakitangan akademik yang terdiri dari tiga orang profesor, lima orang profesor madya, 40 orang pensyarah kanan, tiga orang pensyarah dan 18 orang kakitangan pentadbiran.
Fauziah juga menegaskan, kejayaan PPP itu adalah dari strategi efektif yang dicaturkan dalam mengukuhkan peranan setiap seorang warganya termasuk kakitangan akademik, pengurusan dan pentadbiran, pelajar dan sebagainya yang bertitik tolak dari prinsip keterbukaan semua pihak untuk menjayakan agenda-agenda kecemerlangan yang dipegang secara bersama.
“PPP sedar konsep menginsankan kecemerlangan ini ibarat pokok yang perlu disuburkan didasari dengan kesungguhan yang jitu yang dalam kesibukan mengejar kecemerlangan, adakalanya terlupa bahawa setiap yang kita lakukan ada implikasinya terhadap insan.
Justeru kita menyatukan kedua-dua aspek untuk menzahirkan kecemerlangan yang berterusan dan bukan bersifat sementara dan kecemerlangan tidak boleh dipisahkan dengan aspek qalbu dan tuntutan duniawi.
Semua ini seharusnya dizahirkan dengan kehadiran unsur qalbu atau jiwa yang bersih kerana kecemerlangan seumpama ini membolehkan setiap dari warganya merasai nikmat dari usaha tersebut dan kekal cemerlang walau tiada ganjaran hebat yang dijanjikan,’’ kata Fauziah.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Muhamad Ihsan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 1493