C4F: USM DAN APUCEN BANTU MANGSA GEMPA BUMI DI NEPAL
KATHMANDU, NEPAL, 14 Ogos 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas penglibatannya dalam program libat sama universiti-komuniti pada peringkat antarabangsa dengan membantu mangsa akibat gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda Nepal pada 25 April melalui projek perintis ‘Coaching4Fun Against the Quakes’ (C4F).
Projek C4F ini yang dirasmi dan dilancarkan di Godavari Alumni Association Futsal Hall, Thamel di sini baru-baru ini adalah hasil kolaborasi bersama USM melalui Asia-Pacific University-Community Network (APUCEN), Kyoto University of Foreign Studies Japan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MMICARE Association Malaysia dan ENGAGE Nepal.
Menurut Pengarah Eksekutif APUCEN Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau-Hwai, projek ini memberi peluang kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Nepal yang hilang keupayaan untuk berjalan dalam meneruskan kehidupan dan menempatkan semula diri mereka dalam masyarakat melalui penglibatan dalam acara sukan bola keranjang berkerusi roda.
“Program libat sama universiti-komuniti ini juga menggalakkan pembangunan kesukarelawanan dan kepimpinan dalam kalangan golongan belia yang hilang keupayaan untuk berjalan selain memberi semangat, ilham dan harapan kepada mereka untuk mencapai matlamat baru dalam kehidupan dan kami dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dapat terlibat sama secara langsung melalui APUCEN dalam membantu dan mengubah nasib mereka yang kurang bernasib baik ini merentasi kumpulan sasaran di luar negara sejajar dengan hasrat USM dalam merealisasikan agenda libat sama komunitinya,” kata pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM itu yang turut hadir dalam majlis pelancaran C4F tersebut.
Pada majlis yang sama, wakil dari keempat-empat institusi itu juga diperkenalkan kepada pemain-pemain bola keranjang kerusi roda yang berkongsi pengalaman dan keadaan hidup mereka selepas gempa bumi di Nepal itu, di samping berpeluang menyaksikan perlawanan pertunjukan bola keranjang 3 lawan 3, antara dua pasukan bola keranjang kerusi roda di wilayah Kathmandu yang ditubuhkan oleh ENGAGE.
Yang turut hadir ialah Naib Presiden Kyoto University of Foreign Studies, Japan, Profesor Toshiki Kumagai; Pengasas MMICARE Association Pushparani Thilaganathan; dan para sukarelawan tempatan yang terlibat dalam program ini.
Tambah Aileen Tan, APUCEN amat berterima kasih kepada MMICARE Association yang banyak membantu mendapatkan sukarelawan dalam kalangan penduduk tempatan di sana untuk bersama-sama menjayakan program ini.
Selain institusi dan organisasi di atas, antara anggota APUCEN yang turut memberi sumbangan kepada program ini ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), AIMST University, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Sri Bengawan Brunei (KUPUSB).
APUCEN ditubuhkan pada 2010 berperanan mempromosi budaya libat sama universiti-komuniti secara proaktif dan kini disertai 76 anggota dari 18 buah negara di rantau Asia-Pasifik. Presidennya ialah Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ehsan MMICARE
- Created on .
- Hits: 1457