USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DERMA ORGAN UNTUK BANTU PESAKIT

IMG 20150814 WA0013 

KUBANG KERIAN, 13 Ogos 2015 - Pesakit yang mengalami masalah organ boleh dirawat dengan transplantasi organ yang didermakan oleh penderma dan kaedah rawatan ini dapat menyelamatkan nyawa, menyembuhkan penyakit serta memulihkan kualiti hidup seseorang pesakit.

Pada masa kini terdapat ramai pakar yang khusus mengendalikan pemindahan organ dan beberapa pasukan telah diwujudkan khas bagi melancarkan lagi proses rawatan pemindahan organ.

Bercakap dalam temubual bersama radio tempatan dalam Program Doktor Di Radio yang bertajuk Derma Organ - Jom Ikrar, Penyelaras Unit Bank Tisu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Suzina Sheikh Ab Hamid berkata, terdapat dua kategori pendermaan yang boleh dilakukan oleh orang ramai iaitu derma organ dan derma tisu.

 IMG 20150814 WA0012

"Organ terdiri daripada jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru yang mana rawatan pemindahannya perlu dilakukan secepat mungkin dalam lingkungan masa empat hingga enam jam manakala tisu pula terdiri daripada kulit, tulang dan mata boleh disimpan sehingga lima tahun dalam suhu -80 darjah celsius di bank tisu atau bank tulang.

Pendermaan organ adalah proses yang berlaku setelah meninggal dunia, tiada sebarang ujian yang perlu dilakukan ke atas penderma semasa mereka hidup iaitu semasa berikrar menjadi penderma organ, hanya ujian tertentu yang perlu dijalankan setelah mereka meninggal bagi menilai tahap kesihatan lampau penderma," jelas Suzina.

Menurutnya lagi di Institut Jantung Negara (IJN) terdapat pasukan pakar perubatan khusus bagi pemindahan jantung dan paru-paru yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mendapat kerjasama pelbagai pihak yang sekiranya berlaku kes di mana sahaja lokasi dalam negara, mereka akan diterbangkan terus dalam usaha menyegerakan proses rawatan.

 

Dr. Suzina menasihati masyarakat supaya tidak perlu bimbang untuk menderma organ, walau pun mereka telah berikrar sebagai penderma organ, namun masih boleh mengubah keputusan tersebut dan yang paling penting mereka perlu memaklumkan kepada ahli keluarga jika ingin berbuat demikian.

"Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan jika ahli keluarga tidak dimaklumkan tentang hal ini dan sebagai makluman di Malaysia, ahli keluarga dibenarkan mengubah keputusan si penderma yang telah meninggal dunia untuk tidak bersetuju menjalani proses pendermaan ini," kata Suzina lagi.

Dewasa ini, keterbukaan masyarakat untuk tampil sebagai penderma masih lagi terbatas. Setiap individu layak untuk menderma organ tidak mengira umur dan bangsa bahkan mereka yang mempunyai penyakit juga tetap berpeluang untuk menderma organ yang bersesuaian.

Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 1323

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024