USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA SARIKATA PROGRAM TV UNTUK OKU BERI FAEDAH LEBIH 100,000 PENONTON

PULAU PINANG, 13 Ogos 2015 – Atas dasar keprihatinan serta tanggungjawab sosial sebagai pendidik kepada masyarakat, Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Leelany Ayob, 47, mengambil inisiatif membangunkan sarikata khusus untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya mereka yang mengalami masalah pendengaran untuk menonton program-program televisyen terbitan Media Prima Berhad sejak tahun lalu.

“Kita mungkin terlupa bahawa penerimaan golongan istimewa itu terhadap sesuatu mesej adalah berbeza terutama dalam penyampaian ilmu dan kefahaman mereka bergantung kepada cara kita menyampaikannya dalam bahasa isyarat mahu pun sarikata serta bahasa visual,” kata Leelany.

Jelasnya, melalui kolaborasi di antara USM melalui Bahagian Terjemahan dan Interpretasi PPIK dengan Media Prima Berhad sejak penganjuran persidangan antarabangsa PPIK beberapa tahun lepas dan dihadiri oleh salah seorang staf Media Prima Berhad dengan mengikuti pembentangan yang dilakukan oleh pihak USM menjadikan mereka berminat untuk menjalinkan kerjasama ini.

Tambahnya lagi, ada kalanya simbol ataupun istilah khusus tidak ada dalam perkataan tertentu terutamanya istilah yang berkaitan agama Islam yang menjadi cabaran utama namun kami berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi kekangan berkenaan supaya kaedah itu dapat diterap oleh semua peringkat usia OKU.

“Sarikata ini menggunakan bahasa Melayu kerana lebih mudah difahami oleh golongan OKU tersebut kerana suku katanya yang jelas dan dekat dengan jiwa golongan ini,” jelas Leelany.

Menurut Leelany, mereka juga sama seperti kita, hanya tidak dapat mendengar kerana itu pihaknya komited mahu terus membantu selagi mampu bermula dengan menyediakan sarikata untuk program bual bicara Kopi Bersama Ustaz Kazim di TV9 diikuti dengan Al-Hidayah dan yang terbaharu Fiqh Wanita yang disiarkan di TV3.

Program sarikata dilakukan sepenuhnya oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi bersama-sama beberapa orang pelajar peringkat sarjana dengan pemantauan para pensyarah khususnya Leelany sendiri untuk menjangkau sasaran sebenar.

“Alhamdulillah, walaupun pada awalnya kami menjangkakan hanya mereka yang kurang masalah pendengaran ini akan memperoleh manfaat dari usaha ini namun bersyukur kerana hasil kerja ini turut memberi faedah kepada semua lapisan masyarakat dan difahamkan berjaya menarik lebih 100 ribu penonton setiap kali rancangan-rangan tersebut disiarkan yang menjadi motivasi untuk terus berbakti kepada masyarakat selagi mampu,” kata Leelany.

Pihaknya berharap agar program ini dapat diteruskan sebagai tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat malah juga menjadi kerja kursus kepada para pelajar.

Tegasnya, bakat dan kreativiti para pelajar juga perlu dikembangkan sebaik mungkin kerana dapat menjadi nilai tambah selain membina rangkaian seiring dengan tuntutan industri kini.

“Kami berharap agar sokongan semua pihak dalam membantu golongan istimewa ini sebagai komuniti senyap dapat dikembangkan demi memastikan mereka tidak terasa mereka tidak terpinggir sekaligus membuka ruang kepada golongan ini untuk mendapat perhatian yang sewajarnya dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang disalurkan melalui stesyen televisyen,” katanya lagi.

Walaupun hanya sarikata tiga program berbentuk keislaman yang dijalankan oleh pihaknya, namun pada masa-masa akan datang, Leelany berharap agar kolaborasi ini diperluaskan untuk program-program televisyen berbentuk umum lain juga.

“Dana diperoleh sepenuhnya melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dan insyaallah kolaborasi diharapkan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa.​

  • Created on .
  • Hits: 1793

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024