HORMATI INSTITUSI DAN GURU KUNCI KUASAI ILMU - NC
PULAU PINANG, 12 Ogos 2015 – para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diingatkan mengenai perkara asas yang seharusnya diingati dan difahami dalam mencari ilmu pengetahuan termasuk yang terpenting, menghormati institusi dan guru.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, warga sesebuah institusi perlu menghormati institusinya, menjaga tata susila dan menjunjung kemuliaan sebuah institusi dengan segala struktur dan peraturannya.
Katanya, apatah lagi bagi sebuah universiti, Menara Ilmu yang mempunyai adab-adabnya yang perlu dijaga dan disantuni, perkara itu perlu disemat bagi mendapatkan keberkatan dalam perjalanan mencari ilmu.
“Selain itu, hormatilah guru dan para cendekiawan kita. Adab dan penghormatan seorang pelajar dan mahasiswa terhadap guru, pensyarah mahu pun ilmuan yang ada perlu sentiasa dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,400 pelajar baharu program rancangan pengajian jarak jauh (RPJJ) kemasukan sidang 2014/2015 di sini semalam.
Turut hadir ke majlis Sambutan Siswa dan Majlis Sambutan Siswa & Upacara Ikrar Pelajar Baharu RPJJ itu ialah timbalan-timbalan naib canselor serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Omar juga berkata, adab dalam mencari dan menguasai ilmu juga perlu sentiasa dijaga bagi memastikan pelajar tidak menyimpang dari tujuan dan matlamat utama berada di Menara Ilmu.
“Berusahalah untuk memahami falsafah ilmu serta sentiasa bertanya untuk mendalaminya. Jadikan perpustakaan dan dunia maya sebagai medan mencari sebanyak mungkin maklumat dan tidak menyalahgunakan kemudahan yang ada termasuk termasuk media sosial.
“Internet dan media sosial umpama pisau yang jika kita manfaatkannya untuk kebaikan, maka kita akan beroleh kebaikannya. Begitu jugalah sebaliknya jika kita guna tanpa pertimbangan sewajarnya, maka kita mudah terjerumus dalam kancah kerja sia-sia dan merosakkan orang lain, ujarnya.
Selain itu, beliau menegaskan, banyak perkara yang boleh pelajar teroka sepanjang berada di USM dan pelajar RPJJ turut diseru menjadi penghubung untuk universiti bersama-sama dengan pelbagai institusi lain memanfaatkan kepakaran yang ada.
“Saya fikir mahasiswa pengajian jarak jauh menjadi satu aset dan sumber utama dalam melakukan transformasi pengajian tinggi.
“Dengan jumlah siswazah jarak jauh yang cukup besar bilangannya, tentunya banyak perkara yang boleh dilakukan dalam memajukan lagi, bukan sahaja pengajian jarak jauh itu sendiri tetapi proses pemindahan ilmu dan memasyarakatkan ilmu untuk dunia seluruhnya,’’ katanya.
Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak jauh, Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi pula berkata, seiring dengan perkembangan semasa, PPPJJ tekad berusaha dalam meneruskan kecemerlangan dan tampil dinamik.
Katanya, PPPJJ akan berusaha untuk memastikan RPJJ USM terus berkembang dan cemerlang, selain memantapkan penyampaian bagi membolehkan PPPJJ muncul sebagai sebuah pusat pengajian terkemuka, berkualiti dan menjadi rebutan.
Bagi sesi kemasukan 2016/2016, USM menerima lebih 4,000 permohonan dan telah memilih sekitar 1,500 pelajar yang akan mengikuti empat program ijazah pertama iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana Muda Sastera.
USM yang mula menawarkan RPJJ pada tahun 1971, sehingga kini telah mengijazahkan seramai 19,622 graduan sejak tahun 1976 sehingga 2014. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1258