SAMBUNG BELAJAR UNTUK BANTU MASYARAKAT
PULAU PINANG, 11 Ogos 2015 – Minatnya kepada kerja sosial dan membantu komuniti mendorongnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam mendalami ilmu pengetahuannya dalam bidang yang berkaitan.
Demikian jelas RD Ramesh Patel, 55, salah seorang pelajar baharu pengajian jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditemui selepas majlis Program Siswa Lestari, Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) di sini hari ini.
Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini mahu membuktikan bahawa faktor usia bukan penghalang baginya untuk menuntut ilmu, apatah lagi dengan minatnya yang mendalam terhadap kerja sosial sejak di bangku sekolah.
"Saya mengambil keputusan untuk belajar di USM bagi menimba ilmu pengetahuan yang diharapkan dapat membantu meningkatkan taraf pendidikan untuk membantu masyarakat setelah berjaya mengasaskan “Vivekananda Home Rembau’ iaitu sebuah badan kebajikan anak-anak yatim dan miskin di Rembau malah berharap akan menjadi contoh kepada orang lain terhadap kepentingan menuntut ilmu walaupun sudah lanjut usia,” kata Ramesh.
Ramesh yang mempunyai tiga orang anak akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan yang menjadi pilihannya kerana berkait rapat dengan kerja sosial.
“Pesanan saya kepada semua orang ialah jangan sia-siakan peluang untuk melanjutkan pelajaran yang amat penting demi memastikan tidak ketinggalan pada masa hadapan,” katanya lagi.
Keazamannya memuncak apabila melihat ketiga-tiga anaknya Farul, 26 yang juga alumni USM yang sudah bekerja sebagai Doktor Perubatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, anak kedua Mayna, 24, baru sahaja tamat belajar dalam bidang perundangan dan yang bongsu Jaiyogesh, 22, sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Seramai 1,500 orang dipilih dari kira-kira 4,000 untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun ini. USM yang mula menawarkan RPJJ pada tahun 1971, sehingga kini telah menghasilkan hampir 21,000 orang siswazah sejak 1976.
Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1867