USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEMBERSIH TANGAN MAMPU KURANG RISIKO JANGKITAN

IMG 7707

KUBANG KERIAN, 10 Ogos 2015 - 'Hand Hygiene' merupakan suatu tindakan membersihkan tangan dengan menggunakan sabun antiseptik di bawah air mengalir atau dengan menggunakan handrub berasaskan alkohol melalui langkah-langkah yang sistematik dan berurutan, sehingga dapat mengurangi jumlah bakteria yang berada pada tangan.

World Health Organisation (WHO) menyarankan semua pengamal perubatan seperti doktor, jururawat, pembantu perawatan kesihatan atau sesiapa yang bertugas di pusat-pusat rawatan mematuhi prosedur 'Hand Hygiene'.

Memahami kepentingan amalan ini dilaksanakan dengan berkesan, Unit Kawalan Jangkitan & Epidemiologi Hospital USM (UKJEH) dengan kerjasama Jabatan Mikrobiologi & Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM telah menganjurkan Seminar Kawalan Jangkitan bertempat di sini.

IMG 7703

Menurut Penolong Pengarah, Unit Kejurawatan Hospital USM, Wan Marina Wan Sulaiman, seminar pada hari ini menarik minat seramai 120 orang pengamal perubatan dari seluruh negara untuk memberikan kefahaman yang lebih baik dan menyeluruh mengenai konsep dan prinsip program kawalan jangkitan sebagai usaha mengawal jangkitan.

Pakar Perunding Hospital An Nur, Profesor Madya Dr Norhayati  Majid sebagai pensyarah jemputan bekata, adalah penting untuk mematuhi panduan yang telah ditetapkan oleh WHO iaitu 'The 5 moments for hand hygiene' supaya ia lebih berkesan.

"Langkah terbaik yang dimaksudkan adalah sebelum dan selepas menyentuh dan melaksanakan apa-apa prosedur terhadap pesakit serta selepas bersentuhan dengan apa-apa peralatan sekitar pesakit," ujarnya.

Tambah Norhayati, audit pemantauan oleh Unit Kawalan Jangkitan perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan amalan ini dipatuhi sebaik mungkin.

"Walaupun mereka ini memang telah tahu hal berkaitan 'Hand Hygiene', namun begitu masih terdapat segelintir yang masih tidak mengamalkannya secara konsisten sewaktu menjalankan tugas terutamanya bagi petugas yang baru berkhidmat.

IMG 7700

"Melalui program ini juga, para pembantu perawatan dan jururawat diberikan kemahiran untuk berkomunikasi supaya mereka lebih yakin untuk menyampaikan maklumat tentang kepentingan pencucian tangan terutama kepada pegawai perubatan tanpa rasa takut dan segan," ujarnya lagi.

Tegasnya, amalan pencucian tangan tidak boleh dipandang remeh bagi semua individu kerana kesan di sebaliknya amatlah besar. Lebih malang lagi, sekiranya berlaku jangkitan kepada pesakit akan mengakibatkan mereka perlu tinggal lebih lama di dalam wad, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kos rawatan terhadap pesakit dan hal ini boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengambil berat terhadap pencucian tangan.

Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1896

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024