USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN HARI PENYUSUAN SUSU IBU SEDUNIA 2015 TINGKAT KESEDARAN ORANG RAMAI

TANAH MERAH,10 Ogos 2015 - Dalam usaha untuk mempromosikan penyusuan susu ibu secara menyeluruh, Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut setiap tahun pada 1 hingga 7 Ogos.

Bersempena dengan sambutan minggu tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah berkolaborasi dengan Sekretariat Laktasi Hospital USM, menganjurkan Program Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu 2015.

Kempen ini adalah satu usaha murni dan komitmen bagi menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun sejajar dengan Millenium Developmental Goal 4 (MDG 4).

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir ketika merasmikan program ini berkata, usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan penyusuan susu ibu seterusnya mempergiatkan usaha promosi dan menguar-uarkan sumber sokongan penyusuan susu ibu.

"Antara objektif kempen adalah untuk meningkatkan kesedaran umum khususnya pasangan muda mengenai kepentingan penyusuan ibu, memberikan motivasi dan garis panduan untuk penyusuan ibu yang sejahtera serta menyediakan platform untuk perkongsian pengalaman para ibu yang berjaya dalam penyusuan bayi mereka," katanya.

Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia adalah kempen sejagat yang menjadi wadah bagi kumpulan atau pertubuhan serata dunia untuk mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran umum mengenai penyusuan susu ibu di samping meraih sokongan terhadap penyusuan susu ibu.

Menurut Penolong Pengarah Kejururawatan Hospital USM Rusnah Yaso',  penglibatan Hospital USM adalah bagi mendokong misi Hospital Rakan Bayi. Inisiatif Hospital Rakan Bayi merupakan salah satu program antarabangsa yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF.

"Program ini dimulakan pada tahun 1992  bertujuan untuk menggalakkan semua hospital dan pusat bersalin melaksanakan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya”. Selain itu, fasiliti ini juga perlu mematuhi amalan Tata Etika Produk Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan dalam usaha mengekalkan pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi," ujarnya.

Di Malaysia, Inisiatif Hospital Rakan Bayi telah dilaksanakan sejak tahun 1993. Selepas 5 tahun pelaksanaannya, pada 3 Mac 1998, Malaysia telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara ke-3 di dunia yang mempunyai kesemua hospital kerajaan diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi.

"Program yang dijalankan pada hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat. Lebih 500 orang pengunjung hadir pada program hari ini," katanya.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Ehsan Pn Rusnah Yaso'

  • Created on .
  • Hits: 1717

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024