MASUM 2015: KONTINGEN USM RAIH PENCAPAIAN CEMERLANG
PULAU PINANG, 7 Ogos 2015 – Kecemerlangan kontingen Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyertai Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia 2015 (MASUM) di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor berjaya dibuktikan apabila menduduki tempat keempat keseluruhan dengan membawa pulang 11 pingat emas, 11 perak dan 24 gangsa.
Sukan renang menjadi penyumbang pingat terbesar kepada USM dengan 9 emas, 9 perak dan 14 gangsa sementara baki 2 pingat emas diperoleh melalui sukan karate-do dan taekwondo.
Sukan lain yang turut menyumbangkan pingat adalah catur, boling padang, woodball dan petanque.
Menurut Ketua Sektor Penyediaan Atlet USM, Mustaffa Kamal Esa, pencapaian tahun ini amat memberangsangkan kerana berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat keenam dalam edisi sama tahun lepas dan juga dari segi pungutan pingat.
“Sasaran kita pada kejohanan kali ini hanya 6 pingat emas, namun berkat kesungguhan dan disiplin tinggi atlet kita, berjaya memperoleh sesuatu yang di luar jangkaan.”
Tambahnya lagi, komitmen setiap atlet yang bertanding juga wajar diberikan pujian walaupun berhadapan lawan yang mempunyai pengalaman luas dan kelebihan fizikal.
“Atlet juga dilihat mengambil inisiatif sendiri menjalani latihan intensif bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi kejohanan ini dan hasilnya telah dizahirkan kini.”
MASUM 2015 disertai oleh 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dengan USM menghantar seramai 187 orang atlet, menyertai 14 daripada 20 jenis sukan yang dipertandingkan.
Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Facebook Penyediaan Atlet USM
- Created on .
- Hits: 1257