PERKAHWINAN RENTAS BUDAYA: PUSAT ISLAM TAUTKAN HATI DUA JIWA
PULAU PINANG, 7 Ogos 2015 – Keterbukaan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menerima kepelbagaian etnik dan kaum khususnya dari pelajar antarabangsa telah menyatukan dua hati, Siti Arina Zainal dengan pasangannya Benjamin Cutler untuk membina mahligai di sini hari ini.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam USM Ustaz Zayd Zhari, 38, majlis akad nikah pasangan tersebut menggambarkan keterbukaan masjid dalam menerima kepelbagaian dan memupuk pengantarabangsaan.
Katanya lagi, ini adalah peluang mendekatkan pelbagai golongan masyarakat untuk mengenal Islam dengan lebih dekat melalui sifat kemesraannya.
Pengantin perempuan Siti Arina Zainal, 24, yang juga alumni USM berkata, dia tidak menyangka pertemuan dengan Benjamin kira-kira tiga tahun dahulu menerusi USM Buddies akan membawa mereka ke jinjang pelamin selain mengharapkan perkahwinan tersebut akan berkekalan walau pun berbeza budaya.
“Saya yakin dengan jodoh ini yang telah ditetapkan Allah, dan percaya walaupun terdapat perbezaan budaya, kami akan melaluinya dengan sebaik mungkin,” katanya yang kini berkhidmat di Citibank Malaysia.
Sementara itu, pengantin lelaki yang juga Pelajar Ijazah Sarjana Muda dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT) pengkhususan English for Professionals (EFP), dari California, Amerika Syarikat Benjamin Cutler, 24, berkata, perbezaan budaya dan cara hidup bukanlah penghalang buatnya dan isteri untuk berkahwin selain mengharapkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Saya menganggap perkahwinan saya dengan Siti Arina adalah jodoh yang telah ditetapkan dan satu amanah yang harus menjaga jodoh ini dengan sebaik mungkin kerana jika kita reda dengan jodoh kita, bahagia akan menjadi milik kita,” kata Benjamin lagi yang telah memeluk Islam pada bulan September tahun lalu.
Ibu pengantin perempuan yang juga Setiausaha Pejabat di Pusat Pengajian Sains Kimia Siti Zaleha Azally, 56, berkata dia menyokong penuh dan merestui perkahwinan anak perempuan sulung tunggalnya itu selain mengharapkan kebahagiaan kedua-dua pengantin hingga ke akhir hayat.
“Saya dan keluarga percaya bahawa jodoh dan pertemuan telah ditetapkan oleh-Nya malahan kami bersikap terbuka dalam pilihan anak-anak dan redha semoga perkahwinan ini diberkati,” katanya lagi yang telah berkhidmat selama 34 tahun bersama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM sebelum menyambung tugas di Pusat Pengajian Sains Kimia. Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.
- Created on .
- Hits: 2803