USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OKU HARGAI KEPRIHATINAN USM-RICD

BANGI, 6 Ogos 2015 - Majlis penyerahan kerusi roda yang dimodifikasi khas USM-RICD hari ini adalah satu inisiatif untuk membantu golongan OKU agar memudahkan urusan harian mereka.

Demikian tegas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datin Paduka Chew Mei Fun ketika majlis pagi tadi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada USM yang tidak pernah jemu untuk melaksanakan pelbagai inovasi untuk golongan OKU ini menikmati hidup yang lebih baik dan berupaya berintegrasi dengan orang lain," tambahnya lagi.

Penerima kerusi roda modifikasi khas ini, Nurul Afiqah Binti Azaha, 19, berkata, sebagai OKU yang masih belajar, menerima kerusi roda ini adalah sesuatu yang amat bermakna kepada dirinya dan sangat gembira dengan sumbangan ini.

"Kerusi roda ini senang digunakan dan akan memudahkan saya untuk bergerak setiap hari ke kelas sebagai seorang pelajar," katanya yang sedang mengikuti kursus jahitan di PLPP.

Nurul Afiqah menyampaikan penghargaan bagi pihak diri dan rakan-rakan kepada RICD kerana menyumbangkan kerusi roda ini dan berharap projek seperti ini akan membuka mata pihak lain untuk terus menyalurkan bantuan bukan hanya wang ringgit tetapi alatan untuk OKU sepertinya meneruskan kehidupan.

Sementara itu, warga emas, Yap Yeow Seng, 56, pula menyifatkan kerusi roda yang disumbangkan ini amat selesa untuk digunakan kerana dibuat mengikut modifikasi yang menepati ciri-ciri keperluan para penerima.

"Ini adalah pertama kali saya berada di sini dan ini  pertama kali menerima bantuan sebegini rupa yang sangat saya perlukan yang memudahkan saya  bergaul dengan rakan-rakan," katanya.

Yeow Seng berharap agar golongan OKU yang senasib dengannya dapat juga diberi peluang untuk menerima kerusi roda sebegini dan program ini dapat diperluas dan diteruskan lagi agar kebajikan OKU tidak diabaikan.

Bagi seorang ibu, Rohaya Binti Awang, 47, perasaan sebak tidak dapat dilindunginya lagi apabila menerima kerusi roda ini untuk anaknya, Muhammad Fakhrul Iman Bin Samsuddin, 13.

Menurut Rohaya, baginya kerusi roda ini sangat mahal kerana dibuat khas dan sumbangan sebegini meringankan tanggungannya dan suami membesarkan seorang anak OKU.

"Bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan seperti saya, bantuan sebegini adalah suatu penghargaan yang besar buat kami malahan ibu bapa lain di luar sana yang membesarkan anak OKU seperti kami juga ingin melihat anak mereka berada dalam keadaan ceria dengan sumbangan seperti ini," katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

"Saya sangatlah berterima kasih kepada USM dan RICD dengan bantuan yang diberikan ini kerana bantuan yang dimohon sebelum ini dari tempat lain memerlukan proses tapisan kelayakan untuk mendapatkan kerusi roda sebegini mengikut tahap-tahap tertentu dan apabila di suatu tahap tidak layak, terus permohonan ditolak walhal bantuan kerusi roda ini amat diperlukan oleh anak kami,” katanya lagi.

Tambah Rohaya, masyarakat perlu tahu bahawa keperluan seorang anak OKU melebihi kemampuan yang ada terutamanya bagi orang biasa yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Seramai 30 orang OKU dari Selangor, Melaka, Seremban, Pahang dan Kuala Lumpur menerima sumbangan kerusi roda modifikasi khas ini yang antaranya berharga sehingga RM 60,000 seunit.

Program ini berlangsung dari 6 hingga 7 Ogos 2015 di Pusat Perindustrian dan Latihan Pemulihan (PPLP), Bangi, Selangor.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1275

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024