CIPTA SEJARAH: USM KAJI ZON GELAP TASIK TEMENGOR
PULAU PINANG, 6 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah apabila buat julung kalinya mengkaji kawasan kedalaman tasik yang gelap dan penuh di Tasik Temengor, Perak dalam masa terdekat.
Tasik Temengor, yang menjadi tasik buatan kedua terbesar di negara ini selepas Kenyir mempunyai kedalaman sehingga 100 meter, dan kajian sebelum ini hanya dilakukan pada paras permukaan (10m di atas).
Penyelidikan yang diketuai oleh pensyarah berpengalaman lebih 30 tahun mengkaji kepelbagaian biologi tasik dan sungai seluruh dunia dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM, Profesor Mashhor Mansor itu akan dibuat bersama rakan kolaborasi dari pelbagai negara khususnya Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI).
LIPI berkepakaran luas dalam aspek hidrologi dan kajian perbandingan tasik, selain berpengalaman menjalankan penyelidikan di Indonesia yang mempunyai lebih dari 800 tasik dan sebahagian besarnya adalah semulajadi.
Mashhor berkata, kajian tasik gelap di kawasan tropika belum pernah dibuat oleh mana-mana pihak ekoran ia adalah tempat paling sukar dikaji melainkan dengan adanya peralatan terbaik dan pengetahuan yang tinggi.
Katanya, ada pelbagai cerita dan rahsia yang tersimpan di kedalaman 90 meter ke bawah dan kajian itu bakal merungkai persoalan mengenai kemungkinan wujud sebarang hidupan mahu pun mikroorganisma di dasar tasik.
“Kajian ini amat penting kerana dengan menggabungkan kepakaran terbaik dari pelbagai negara pada akhirnya dapat mengetahui spesis yang ada jauh di kedalaman tasik yang tidak ada oksigen dan tidak ditembusi cahaya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena seminar The Study on Depth Profiles of Dark Zone in Temengor Lake: The First in Tropikal Area, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Dekan PPSK, Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman dan Pengarah Pusat Penyelidikan Limnologi LIPI, Dr. Tri Widiyanto.
Mashhor juga berkata, penemuan dari kajian akan menyumbang kepada maklumat-maklumat penting yang boleh dirujuk oleh masyarakat khususnya penyelidik di seluruh dunia.
Menurutnya, hasil kajian akan didokumentasikan dan dibukukan yang dijangka akhir tahun ini, selain menjadi 'blue-print' untuk diserahkan kepada pihak kerajaan dan pelbagai pihak lain untuk lebih memahami ekosistem tasik secara menyeluruh.
“Sehingga kini buku-buku teks ilmiah berkenaan tasik hanya merujuk kepada kajian tasik di kawasan bermusim seperti di Eropah serta Amerika Syarikat, bukan di kawasan tropika dan ia sama sekali berbeza,” katanya.
Menurutnya lagi, kepakaran dalam bidang ekologi dan ekosistem kepelbagaian biologi di negara ini dan Asia Tenggara setanding dengan mereka lain di dunia dalam menjalankan kajian seperti demi untuk membolehkan pengurusan tasik dan sungai dilakukan untuk kelestarian dan kelangsungan masa hadapannya.
Ahmad Sofiman yang turut terlibat dalam kajian itu pula berkata, tasik adalah satu ekosistem yang kompleks dan pemahaman serta kajian yang terperinci mengenainya amat penting untuk mengetahui keseluruhan proses yang ada.
``Kita perlu tahu mengenai tasik secara dalaman dan luaran supaya dapat mewujudkan satu sistem pengurusan tasik secara berkesan dan memastikan biodiversitinya terus terpelihara dan memahami keseluruhan ekosistem ini juga dapat membantu penyelidik memahami pelbagai perkara lain termasuk kaitannya dengan bencana alam seperti banjir, kematian hidupan di permukaan, pencemaran toksik dan sebagainya.
Turut akan terlibat dalam kumpulan penyelidikan tersebut ialah penyelidik-penyelidik dari Lousiana State University (LSU), Amerika Syarikat, Tsukuba University Japan, Cantho University (Vietnam), Mahidol (Thailand), Yezin Agriculture University, Myanmer dan Busan University, Korea. Teks: Marziana Mohd Alias/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2397