USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-RICD SUMBANG 30 KERUSI RODA MODIFIKASI KHAS UNTUK OKU

BANGI, 6 OGOS 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasa libatsama universiti-komuniti apabila bersama Rajanagarinda Institute of Child Development (RICD), Thailand menyumbangkan 30 buah kerusi roda modifikasi khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sumbangan kali ketiga sejak Perjanjian Persefahaman dimeterai oleh kedua-dua pihak pada Mei 2012 lalu merupakan inisiatif bersama USM-RICD dan pertama dilaksanakan di Malaysia bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha melengkapi hak keistimewaan OKU.

Kerusi roda yang telah dimodifikasi khas telah direka dan disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan pengguna OKU ini menelan kos hampir RM1.0 juta sejak dimulakan pada 2013.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datin Paduka Chew Mei Fun yang merasmikan program tersebut amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh USM dalam memperjuangkan keperluan utama OKU ini.

"Syabas dan tahniah buat USM dan RICD atas usaha ini yang memperlihatkan bukan sahaja kejayaan memperjuangkan konsep jaringan universiti-komuniti, tetapi juga mengukuhkan reputasi USM sebagai institusi yang memperjuangkan transformasi masa depan melalui jalinan kerjasama dengan komuniti," katanya.

Tambahnya lagi, kini kerajaan telah menggubal dasar bagi melindungi hak golongam OKU serta pelan tindakan untuk mengarusperdanakan golongan OKU ke arah mencapai wawasan 2020.

"Rancangan Malaysia ke-11 banyak memberi fokus kepada usaha memperkasa komuniti dalam kerangka keterangkuman agar golongan OKU dapat turut serta dalam menyumbang kepada komuniti yang sehingga kini seramai 348,280 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menunjukkan melalui program sebegini USM turut membantu kerajaan dalam memudah dan melengkapi kehidupan mereka."

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato Dr. See Ching Mey yang mewakili Naib Canselor berkata, pihaknya mengharapkan agar projek ini dapat diteruskan ke peringkat kebangsaan memandangkan isu hak dan kesamaan OKU perlu dipandang serius.

"USM amat komited dalam memperjuangkan agenda OKU dan memenuhi keperluan golongan ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sihat, selesa dan produktif," kata See.

Jelasnya, sehingga kini USM di bawah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah mempunyai perkhidmatan sepanjang hayat untuk OKU, Latihan Vokasional, Penilaian OKU Multi-Disiplinari, program sukan OKU dan termasuk program Sumbangan Kerusi Roda Modikasi Khas ini. Malah USM kini ada projek Pendidikan Inklusif (P.R.I.N.C.E) di peringkat taska dan tadika.  Ini adalah  usaha mengurangkan jurang dan meningkatkan kesaksamaan pendidikan di antara pelajar aliran  perdana dan OKU. USM diberi geran PADU untuk menjalankan projek rintis program inklusif untuk lima sekolah rendah  di Taiping, Perak.

Beliau berharap agar kerjasama USM-RICD ini menjadi pemangkin yang berharga dan bernilai untuk memelihara dan menyemarakkan semangat memperkasakan penglibatan komuniti dalam usaha membina masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Program ini diadakan di Pusat Perindustrian dan Latihan Pemulihan (PPLP), Bangi Selangor dan melibatkan 30 orang OKU yang dikenalpasti layak menerima kerusi roda dari Selangor, Melaka, Seremban, Pahang dan Kuala Lumpur.

Yang turut hadir Pengarah RICD, Thailand, Dr. Samai Sirithongthaworn, Pengarah Kanan Mindef Blue Ocean Strategy, Kementerian Pertahanan Malaysia Brigadier Jeneral Toh Choon Siang dan Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Nik Omar Nik Ab. Rahman. Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1435

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024