BUDAYA GUNA PRODUK INOVASI TEMPATAN RENDAH
PULAU PINANG, 5 Ogos 2015 - Penerimaan masyarakat terhadap produk-produk inovasi yang dihasilkan para penyelidik di negara ini masih pada tahap rendah dan tidak ramai mahu menggunakan produk keluaran tempatan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, walau pun budaya penyelidikan negara berkembang dengan baik, namun penggunaan produk inovasi baharu belum mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Ini adalah antara cabaran utama dalam pengkormersialan yang perlu dilihat secara menyeluruh bagi menjayakan hasrat negara untuk meningkatkan pengkomersialan produk inovasi menjelang 2020 kerana masyarakat memainkan peranan penting dalam menjayakan pengkomersialan inovasi tempatan dan menentukan penerimaan sesuatu produk dalam pasaran,” katanya.
Beliau akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya kementerian itu sendiri dapat memulakan usaha mengkomersialkan produk-produk inovasi dengan menubuhkan anak syarikat, membina kilang dan menjual produk berkenaan yang akan diteruskan oleh mereka yang berminat setelah usaha ini membuahkan kejayaan.
“Inisiatif ini adalah antara yang boleh diketengahkan sekiranya tahap pengkomersialan produk masih rendah dan saya akan cuba meyakinkan pihak MOSTI untuk mempertimbangkan perkara ini secara lebih terperinci,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika hadir merasmikan 5th International Conference on The Recent Advances in Materials, Minerals and Environment (RAMM) dan 2nd International Postgraduate Conference on Materials, Mineral and Polymer (MAMIP) di sini semalam.
RAMM adalah persidangan berkala anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) USM, berperanan dalam menyediakan forum bagi penyelidik, jurutera dan pendidik di dalam bidang bahan, polimer dan mineral/alam sekitar membincangkan inovasi terkini, kebimbangan, isu dan cabaran yang mendatang bersama penyelesaian dalam pembangunan lestari.
Lebih 250 kertas kerja dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Qatar, Australia dan Jepun dan sebagainya dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan Creating Sustainable World through Advancement in Materials, Minerals & Environment Research itu.
Beliau turut menegaskan, dalam Rancangan Malaysia ke-10, MOSTI telah membelanjakan RM924 juta bagi membiayai projek-projek penyelidikan dan daripada jumlah itu hanya 63 produk sahaja yang berjaya dikomersialkan.
“Saya juga menyeru kepada para penyelidik supaya memfokuskan penyelidikan mereka kepada produk-produk yang berpotensi besar untuk dikomersialkan.
“Dalam masa yang sama kita faham tugas besar dan peranan penyelidik dalam aspek lain termasuk meningkatkan kualiti penerbitan, melahirkan modal insan dan menyumbang kepada pembangunan ilmu secara menyeluruh,’’ katanya.
Abu Bakar turut memuji prestasi penyelidik-penyelidik negara dalam membangunkan pelbagai penyelidikan dan berharap isu pengkomersialan dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1817