PELAJAR PERUBATAN USM-KLE TERUJA KE INDIA
KUBANG KERIAN, 5 Ogos - Kira-kira 100 orang pelajar yang terpilih untuk mengikuti Pengajian Perubatan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kartanaka Lingayat Education (KLE) menjalani program Pimpin Siswa Lestari yang dikelola oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni pada 3 hingga 5 Ogos 2015 di Kampus Kesihatan USM.
Mohamad Afif Naim Mohd Sobri,19 yang berasal dari Sungai Petani meluahkan rasa gembira kerana berjaya dipilih mengikuti program tersebut setelah membuat permohonan melalui penelitian terhadap banyak sumber maklumat mengenai USM dan juga KLE.
“USM merupakan universiti yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang manakala KLE pula sudah masyhur namanya di India dalam pengajian perubatan, jadi apabila dua buah universiti terkemuka bekerjasama sudah pasti kemudahan pengajaran dan pembelajaran adalah yang terbaik," kata Mohamad Afif.
Pendapatnya disokong oleh Muhamad Eqmal Muhamad Redzuan, 19 anak bongsu daripada empat orang adik-beradik yang memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan antarabangsa USM-KLE kerana sokongan dan pengaruh daripada rakan-rakan.
Katanya, kerjasama antara dua institusi di dua buah negara ini cukup mantap dan memberikan pendedahan proses pembelajaran serta penyelidikan di luar negara kepada pelajar.
Sementara itu, Farah Alya Radzuan,19, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghaffar Baba pula menjelaskan status USM sebagai universiti APEX menjadi faktor memilih program tersebut.
Katanya, USM tidak hanya fokus kepada bidang perubatan malahan turut menerapkan aspek keusahawanan di dalam diri pelajar dan ini menjadi nilai tambah untuk kecemerlangan.
“Saya dapat mengikuti pelajaran di luar negara tetapi di bawah universiti tempatan dan itu akan saya pegang sebagai azimat agar saya tidak lupa diri bila di sana nanti," katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pakar tulang dan ingin menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dalam bidang ortopedik pada masa hadapan.
Anis Sofia Muhamad Sharfuddin,19, yang berasal dari Sungai Petani Kedah pula berasa teruja dan tidak sabar untuk memulakan pengajian di KLE berharap agar dapat menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran dan persekitaran di sana serta berhasrat untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersama komuniti serta membuat penyelidikan yang lebih meluas memandangkan banyak kes-kes kesihatan yang terdapat di sana. Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/ Foto: Muhamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 1685