USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMANAT NC: CABARAN BESAR MENUNGGU DI HADAPAN

IMG 1112

KUBANG KERIAN, 5 Ogos -  Terdapat banyak cabaran sengit pada masa hadapan yang perlu dihadapi untuk mencapai kejayaan sebagai seorang doktor perubatan namun dengan prasarana begitu baik untuk pembelajaran di India pastinya dapat membantu pelajar lebih bersedia kelak.

Biar pun jauh belajar di luar negara namun roh dan jiwa USM mesti tetap tersemat di dada.

Demikian pesanan dan amanat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman kepada kira-kira 100 orang pelajar baharu yang berjaya terpilih melanjutkan pengajian Sains Perubatan melalui Program Perubatan Antarabangsa kerjasama USM dan Karnataka Lingayat Education (KLE) September ini yang merupakan kumpulan keenam.

Kumpulan perintis program tersebut seramai 48 pelajar dijangka berijazah  pada tahun ini.

“USM menerima banyak permohonan untuk mengikuti pengajian USM-KLE, walau bagaimanapun hanya 100 tempat yang disediakan dan  tentunya mereka yang terpilih bertuah menjadi sebahagian daripada komuniti USM untuk mengikuti program yang unik di luar negara yang tidak patut disia-siakan," kata Naib Canselor.

Naib Canselor berkata, USM akan terus memantapkan hubungan dua hala ini demi kepentingan bersama dan pada masa ini, selain asrama, sebuah hospital pengajar juga sedang dibina di KLE untuk kemudahan para pelajar yang diharapkan mereka dapat berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain sepanjang tempoh pengajian di sana.

Pertemuan singkat sempena Program Pimpin Siswa Lestari itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr Ahmad Sukari Halim. Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid/ Foto:  Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 828

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024