STAF AKADEMIK SEPAKAT ANJUR MAJLIS KESYUKURAN DAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KAMPUS KESIHATAN
KUBANG KERIAN, 5 Ogos 2015 – Hasil kesepakatan para pensyarah yang baharu menerima kenaikan pangkat, majlis kesyukuran sebagai tanda terima kasih telah berlangsung meriah dalam usaha mengeratkan persaudaraan sesama warga staf melalui Rumah Terbuka Aidilfitri Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) 2015 hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapannya berkata, semua staf perlu bersatu dan bersama-sama mencemerlangkan USM.
“Semua orang akan mendapat ganjaran dari perkhidmatan yang diberikan dan saya doakan kejayaan semua yang diharapkan dengan kejayaan yang diperolehi dapat bersama-sama meletakkan keutamaan yang sesuai dengan keupayaan yang dimiliki," kata Naib Canselor.
Beliau yakin semua staf akan berjaya dalam apa jua matlamat yang ditujui dan tidak semua akan memperoleh apa yang dihajati, namun semuanya tetap memperolehi rahmat atas apa yang dihajati dalam misi dan menyampai visi USM.
Omar berkata, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun ini sangat bermakna kerana persiapan dan juga juadah yang disediakan adalah sumbangan daripada sebahagian pensyarah dan para profesor sebagai tanda kesyukuran dan meraikan kejayaan melalui sambutan ini.
“Seperti mana yang dilakukan di Kampus Induk dengan menjadikan ‘pot luck’ sebagai kaedah perkongsian juadah yang dinikmati lebih 5,000 orang warga kampus, perkongsian kegembiraan dan rezeki ini adalah tanda keakraban sesama kita biarpun berlainan jabatan namun ikatan ini adalah pemangkin dalam merealisasikan hasrat universiti,” katanya.
Sebelum mengakhiri ucapan, Naib Canselor menggamatkan pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Kampus Kesihatan USM dengan serangkap pantun yang berbunyi:
naik gaji perkara nombor dua
naik pangkat perkara nombor tiga
naik ‘business class’ perkara nombor lima
naikkan nama USM perkara yang utama.
Tidak kurang dari 2,000 orang warga Kampus Kesihatan USM membanjiri Dewan Utama seawal jam 11.30 pagi dan semua juadah habis
sekitar jam 3.00 petang. Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan sketsa oleh artis USM Kampus Kesihatan.
Yang hadir sama ialah Timbalan Naib Cancelor Bahagian Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed; dekan-dekan dan timbalan dekan, ketua-ketua jabatan dan unit serta para pegawai utama universiti.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1155