BENGKEL PENGURANGAN RISIKO PERKUKUH INISIATIF HADAPI BENCANA
KUBANG KERIAN, 5 Ogos 2015 – Pusat Transformasi Insan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dengan kerjasama Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) menganjurkan bengkel ‘Pengurusan Risiko Bencana dan Pembangunan Lestari (DRM-SD) di sini untuk memperkukuhkan inisiatif pengurusan bencana yang lestari.
Menurut Pengarah CGSS Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim, bengkel ini bertujuan menambahbaik sistem pengurusan sedia ada dalam menghadapi bencana alam yang tidak dijangka dengan membawa pendekatan untuk semua pihak yang berkepentingan meneroka langkah baharu dalam menggubal strategi menghadapi kesan kerosakan alam selepas bencana. "Di samping itu, pendekatan pintar melalui integrasi pengurusan risiko bencana pembangunan lestari dan dasar-dasar yang jelas berupaya meluaskan jaringan pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam menangani isu adaptasi perubahan iklim dan mengurangkan risiko kemusnahan alam semula jadi," katanya lagi.
Antara topik yang dibincangkan bersama oleh para peserta bengkel termasuklah pengurusan risiko banjir yang melanda kebanyakan negeri berikutan Monsun Timur Laut yang menyebabkan Kerajaan perlu berbelanja besar untuk kerja-kerja tindak balas dan membaik pulih di samping aktiviti-aktiviti pengurangan risiko bencana.
Kamarulazizi berkata, sejak tahun 1972, Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit bagi Projek Tebatan Banjir di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun untuk mengurangkan risiko banjir dan dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-2005), Kerajaan telah memperuntukkan RM1.79 billion bagi projek tebatan banjir, manakala, dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010), peruntukan bagi projek tebatan banjir meningkat secara mendadak kepada RM5.81 billion.
"Menyedari hakikat ini, USM melalui CGSS mengorak langkah memberikan penekanan terhadap penerapan amalan mengurangan risiko bencana di segenap aspek dengan menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana yang telah disemak semula supaya lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa, dan selepas sesuatu kejadian bencana dengan tumpuan utama adalah ke arah Pengurangan Risiko Bencana secara berterusan melalui program-program pencegahan, peredaan, dan kesiapsiagaan menghadapi bencana," jelas Kamarulazizi.
Menurutnya lagi, kajian menunjukkan bahawa adalah 8 kali lebih murah dalam jangka panjang untuk melabur di dalam aktiviti pengurangan risiko bencana berbanding dengan tindakan yang diambil selepas berlakunya bencana.
Bengkel yang dijalankan selama dua hari ini dihadiri oleh 50 orang peserta dari pelbagai jabatan USM Kampus Kesihatan serta pakar-pakar seperti Dr. Suzyman Sibly dan Dr. Radieah Mohd Nor yang mempunyai pengalaman dalam hal ini.
Teks/Foto: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 1547