USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MENGHAKUPAYA KEMAMPUAN PELAJAR PASCASISWAZAH ANJUR PROGRAM BERTARAF ANTARABANGSA

 DSC9743ghjh

PULAU PINANG, 5 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menghakupaya kemampuan para pelajar pascasiswazah menganjurkan program-program bertaraf antabangsa dan buktinya dengan kejayaan penganjuran 5th International Conference For Young Chemists (ICYC) 2015 yang diuruskan sepenuhnya oleh pelajar Ijazah Tinggi Pusat Pengajian Sains Kimia.

Demikian kata Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan ketika merasmikan ICYC 2015 di sini, hari ini.

“Usaha yang dilaksanakan oleh para pelajar ini merupakan contoh terbaik malah selari dengan motto pihak universiti untuk memastikan kelestarian hari esok, persidangan ini memberi manfaat dan maklumat agar orang ramai terutamanya para peserta lebih memahami peranan kimia dalam kehidupan seharian,” kata Muhamad.

Tambahnya lagi, universiti turut berbangga apabila para pelajar proaktif dengan program-program sebegini yang membuktikan mereka bukan sahaja aktif dalam kerja-kerja penyelidikan malahan merebut peluang semasa masih di universiti ini dengan sebaik mungkin.

“Keupayaan para pelajar pascasiswazah ini dalam mendampingi para penyelidik dan pakar kimia antarabangsa untuk persidangan ini seharusnya dipuji selain mendedahkan mereka dengan jalinan-jalinan antarabangsa untuk membina hubungan universiti-industri pada masa hadapan,” katanya lagi.

Pelajar Sarjana Sains Kimia USM selaku Pengerusi ICYC 2015, Tan Khaw Lin, 25, berkata, persidangan ini bakal memberikan input dan manfaat kepada para pelajar Sains Kimia kerana lebih banyak hasil-hasil penyelidikan dapat dikongsi bersama selain berharap persidangan ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.

“Persidangan seumpama ini merupakan medan terbaik dalam perkongsian idea dalam kalangan para peserta serta pembentang kertas kerja untuk saling bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran malah lebih banyak maklumat dapat dijana dalam bidang ini,” kata Khaw Lin.

Pembentang kertas kerja dari Taiwan Guan-Cheng Lin, 22, berkata, ini adalah pengalaman pertamanya ke Malaysia dan gembira kerana dapat berkongsi idea dan kepakaran selain mengenali dengan lebih dekat rakan-rakan pembentang dari negara-negara lain.

“Persidangan seumpama ini dapat membantu saya membina rangkaian perhubungan dengan mereka yang juga dalam bidang yang sama dan secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada saya kerana mereka sebagai bakal ahli kimia muda sememangnya mempunyai idea-idea mahu pun pemikiran generasi muda,” katanya lagi yang sedang nengikuti pengajian Ijazah Sarjana di National Taiwan University dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik Bio-Industri.

Bagi Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Sains Kimia dari USM, Nadirah Zawani, 26, pula, peluang yang diperolehi semasa persidangan ini akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk membantunya dan rakan-rakan yang lain membina rangkaian perhubungan dengan pihak-pihak industri pada masa hadapan.

“Saya berharap, pelbagai pihak dapat menjadikan persidangan ini sebagai saluran terbaik untuk membina jalinan sejajar dengan matlamat yang diinginkan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, persidangan yang mengumpulkan ahli-ahli kimia muda para pelajar Pasca Siswazah ini memberi dimensi baharu dalam bidang Sains kerana lebih banyak hasil-hasil penyelidikan dapat dikongsi dalam pembentangan kertas kerja selain berharap agar pada masa hadapan lebih banyak produk Malaysia terutamanya dalam kalangan pelajar Melayu yang akan mengambil bahagian.

ICYC 2015 yang bertemakan “Green Chemistry Towards A Sustainable Tomorrow” ini merupakan program dua tahun sekali yang dianjurkan sepenuhnya oleh Pelajar Pascasiswazah Pusat Pengajian Sains Kimia dengan jumlah penyertaan seramai 143 peserta termasuk 74 pembentangan secara lisan, 60 pembentang poster dan sembilan orang peserta seminar dengan jumlah peserta tempatan seramai 117 orang dan peserta antarabangsa 26 orang; manakala peserta dari USM 66 orang, peserta bukan dari USM 77 orang serta 16 orang penceramah jemputan.

Yang hadir sama ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Che Mahmood dan Timbalan Dekan Penyelidikan Pusat Pengajian Sains Kimia merangkap Ketua Lembaga Penasihat ICYC 2015 Profesor Dr. Bahruddin Saad.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohamad Danial Shahri.

  • Created on .
  • Hits: 1256

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024