USAHA PUSAT ISLAM DIIKTIRAF: PELAJAR PHD USM TERIMA TAULIAH MENGAJAR AL-QURAN
PULAU PINANG, 5 Ogos 2015 - Dua orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) menerima tauliah dari Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk mengajar Al-Quran di samping 18 orang awam lain termasuklah pesara USM.
Menurut Penolong Pengarah Kanan (Unit Keilmuan dan Sains Islam) Pusat Islam USM Ustaz Haji Mohd. Zamrus Hj. Mohd. Ali, pentauliahan ini membolehkan mereka mengajar Al-Quran kepada masyarakat di mana-mana tempat dalam negeri Pulau Pinang.
"Pentauliahan ini diterima daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang setelah sesi temuduga dan ujian yang turut dikendalikan oleh Mufti Pulau Pinang pada bulan Mei yang lalu dan ini merupakan produk yang dihasilkan oleh Pusat Islam USM," kata Mohd. Zamrus.
Tambahnya lagi, terdapat beberapa kategori kelas Al-Quran bermula dari asas iqra', talaqqi rendah dan menengah, tajwid rendah dan tinggi, hafazan, dan tarannum dan dengan keseluruhan bilangan pelajar yang menghadiri kelas Al-Quran di Pusat Islam ialah 250 orang yang berumur paling muda 19 tahun dan warga emas 60 tahun," katanya lagi.
Mohd. Zamrus juga berharap untuk mengajak lebih ramai lagi warga dalam kalangan kakitangan USM untuk menjadi pencinta Al-Quran dengan menyertai kelas-kelas Al-Quran di Pusat Islam yang boleh dilakukan mengikut kesesuaian waktu masing-masing.
Teks: Siti Naquiah Abdillah & Syuhada Abd. Aziz/Foto: Ehsan dari laman facebook Ustaz Haji Mohd. Zamrus Hj.Mohd.Ali.
- Created on .
- Hits: 1232