USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI: IPPT CIPTA PENGUSUNG I-TAG RINGAN DAN MUDAH DILIPAT

DSC 0344fgjg

PULAU PINANG, 5 Ogos 2015 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang banyak terlibat dalam menyediakan pasukan paramedik yang bersedia untuk pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak USM telah menghasilkan inovasi melalui ciptaan pengusung/Stretcher i-TAG (Transfer And Go) menerusi “Kumpulan Fast” ketika Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) 2015 di sini baru-baru ini.

Menurut ahli Kumpulan Fast, Muhammad Hafiz Bin Hairuddin, semasa aktiviti luar USM seperti aktiviti Palapes, Pimpin Siswa dan lain-lain, staf atau pelajar universiti berhadapan dengan risiko kecederaan ataupun kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

“Pengusung mudah alih yang sedia ada mempunyai berat sekitar 5.3 kilogram untuk dibawa dan digunakan semasa pemindahan mangsa di tempat kejadian ke kawasan yang selamat untuk dirawat, oleh yang demikian kami mencipta i-TAG iaitu pengusung yang ringan, boleh dilipat dan lebih menjimatkan kos untuk memastikan kerja-kerja menyelamat dapat dilakukan dengan lebih cepat dan efisyen kerana i-TAG diperbuat daripada kain jenis 100% poly drill yang tahan lasak dan berukuran 175cm x 65cm dilengkapi pemegang serta mudah dibawa oleh paramedik ketika berlakunya kecemasan atau kemalangan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli kumpulan Fast, Nor Samsinar Binti Abu Talib berkata, sasaran ciptaan ini adalah untuk mereka bentuk pengusung yang lebih ringan dan juga saiz pengusung yang boleh dilipat kecil dan hal ini telah berjaya dicapai dengan mereka bentuk pengusung yang mempunyai berat hanya 0.9 kilogram ini dan juga dapat dilipat lebih 50% daripada pengusung yang sedia ada di samping kos untuk mengeluarkan i-TAG ini hanya berjumlah RM 22.00 sahaja seunit berbanding dengan pengusung sedia ada yang berharga RM 500 seunit,” katanya lagi.

Tambah Nor Samsinar, dengan inovasi pengusung i-TAG ini, semua ahli kumpulan Fast dapat meningkatkan pengetahuan dan penglibatan dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di samping dapat melakukan penambahbaikan kaedah semasa “paramedic standby” untuk aktiviti luar dari segi menyelamatkan mangsa dengan lebih efisyen kerana ianya boleh diletak di dalam beg kecemasan justeru alat ini dapat membantu dalam menjayakan aktiviti luar yang dilakukan oleh USM mahupun mana-mana pihak lain.

Dalam KIK 2015 baru-baru ini, kumpulan Fast telah menjadi Naib Johan bagi kategori teknikal dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 beserta piala iringan. Kumpulan Fast dianggotai oleh Md Hisham Abd Razak, Adibah Binti Sahri, Muhammad Hafiz Bin Hairuddin, Nor Samsinar Binti Abu Talib, Law Kim Sooi, Norhaliza Binti Abd Hamid dan Siti Fatimah Binti Shari.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Zamani Abd Rahim​

  • Created on .
  • Hits: 1233

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024