PENDIDIKAN BERTERUSAN PENTING ATASI BAHAYA DENGGI, KATA PAKAR PENGURUSAN VEKTOR
PULAU PINANG, 5 OGOS 2015 - Pendidikan berterusan mengenai bahaya denggi perlu diperkasakan menerusi pelbagai pendekatan ilmiah agar masyarakat lebih peka dengan persekitaran sekeliling untuk menangani wabak denggi.
Malah, kaedah penyampaian ilmiah kepada masyarakat yang dijalankan kini perlu dipelbagaikan agar semua orang lebih faham dan bertindak bersama bagi membanteras habitat nyamuk aedes seterusnya wabak denggi.
Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dr. Zairi Jaal berkata, pendekatan secara ilmiah mengenai kesedaran bahaya wabak denggi juga mesti diperhalusi bagi memudahkan masyarakat lebih memahami kaedah dan tata cara mengelakkan penularan wabak pembunuh ini.
"Kadar peratusan penghidap wabak denggi di kawasan bandar merupakan antara tertinggi jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar yang memerlukan perancangan strategik bagi mengurangkan penularan wabak ini yang semakin membimbangkan," tegas Zairi
Zairi, 61 berkata, walaupun pelbagai cara dilakukan bagi membendung masalah ini, kesedaran masyarakat masih di tahap rendah menyebabkan semakin ramai dijangkiti wabak tersebut.
Tambahnya lagi, kajian yang dibuat mendapati nyamuk aedes merupakan spesis unik jika dibandingkan dengan spesis nyamuk yang lain kerana mampu hidup dan bertelur pada semua jenis persekitaran.
“Telur nyamuk Aedes tidak akan mati walaupun berada dalam persekitaran kering dan panas, dan ia mampu menetas mendadak jika terkena air kembali, kerana itu kita perlu menjalankan aktiviti kebersihan dengan lebih terperinci mengikut panduan dan langkah yang ditetapkan agar dapat menghapuskan habitat nyamuk aedes,”tegas Zairi.
Beliau adalah pakar dalam bidang Biologi dan Pengurusan Vektor dan Parasit yang telah bertugas di USM selama 32 tahun.
Tambahnya lagi, tidak dinafikan juga bahawa pertambahan bilangan warga asing sedikit sebanyak mempengaruhi peningkatan wabak aedes di negara ini.
"Kebanyakan warga asing tertumpu kepada kawasan bandar dan penempatan mereka ini tidak disediakan mengikut piawaian yang ditetapkan yang menyebabkan tahap kebersihan, aliran air kumbahan dan sebagainya menjadi punca utama kepada penularan wabak ini"
Selain itu, Zairi turut berkata faktor cuaca di negara ini yang tidak menentu membuatkan populasi nyamuk aedes semakin meningkat.
“Antara kelebihan nyamuk aedes ini ia mampu menyesuai dengan semua keadaan cuaca, di tambah pula dengan populasi manusia yang meningkat terutamanya di kawasan bandar membuatkan masalah ini sukar untuk dibendung”
Prof. Dr. Zairi Jaal berkelulusan bidang Sains Gunaan di dalam Biologi dan Pengurusan Vektor dan Parasit dari Southern Illinois University, Amerika Syarikat dan Kedoktoran dari University of Liverpool, United Kingdom dan juga mantan Pengarah Unit Penyelidikan Kawalan Vektor, Universiti Sains Malaysia (USM). Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1523