ENAM PELAJAR UK HARGAI PELUANG BELAJAR DI USM DENGAN KEMUDAHAN DAN MASYARAKAT PRIHATIN
PULAU PINANG, 4 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima enam orang pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Keele University (KU), United Kingdom (UK) hasil perjanjian kolaborasi di antara USM dan KU tujuh tahun lalu.
Mereka merupakan kumpulan ketujuh pertukaran pelajar dari KU yang mengikuti pengajian selama tiga bulan di USM.
Pensyarah Unit Penyelidikan Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM Profesor Dr. Zairi Jaal berkata, kehadiran mereka amat disambut baik pihak Pusat Pengajian Sains Kajihayat kerana dapat memberi peluang kepada para pelajar lain berkongsi idea dan pendapat dengan pelajar-pelajar dari sebuah universiti dunia.
Tambah Zairi lagi, selain daripada pertukaran pelajar, USM dan KU turut berkolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pensyarah undangan.
“Kerjasama yang dijalankan sejak tujuh tahun yang lalu telah banyak memberi manfaat kepada USM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan melalui penyelidikan bersama di antara penyelidik-penyelidik di KU dan USM dan saya sendiri turut menjalankan penyelidikan bersama penyelidik di sana dalam bidang vektor dan serangga dan mereka menghantar sampel untuk penyelidik USM kaji yang membuktikan penyelidik dari KU percaya dan yakin dengan kebolehan kita di Malaysia,” kata Zairi.
Bagi pelajar pertukaran dari KU, Lewis Shackleboid, 20 yang berasal dari Manchester, rakan-rakan Malaysia sangat prihatin dan bersopan santun dalam setiap perkara yang dilakukan dan tentu sahaja peluang sebegini amat berfaedah bagi pelajar sepertinya untuk lebih mengenali dan mempelajari tradisi, kebudayaan, mendekati serta mengenali kehidupan harian rakyat Malaysia.
“Program seperti pertukaran pelajar mampu memberi kesan positif dalam mendidik golongan muda agar mempunyai semangat dan jati diri yang tinggi,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Biokimia.
Rakannya, Harry Edward Thomas,22 yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Parasitologi dan Biologi Vektor turut mengakui Malaysia merupakan negara yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran kerana fasiliti yang lengkap dan melahirkan rasa bangga dapat ke USM yang disifatkan sebagai universiti berkelas dunia.
“Saya gembira berada di Malaysia dengan persekitaran yang sememangnya mengagumkan,” kata anak muda yang berasal dari Manchester itu lagi.
Tambahnya, dengan mempelajari budaya sesuatu bangsa membuatkannya lebih memahami cara mereka berfikir selain menjadikannya lebih berdikari dan seronok dengan rakan-rakan dari Malaysia yang rata-ratanya sangat membantu.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Biokimia, Gregory Warren,20, turut memberitahu dia sangat selesa dan berterima kasih kepada pihak PPSK USM yang menyediakan fasiliti terbaik sepanjang tempoh berada di Malaysia.
“Saya dan lima rakan yang lain tidak berasa janggal berada di Malaysia kerana pelajar-pelajar lain sangat peramah dan sentiasa memberikan bantuan ketika diperlukan, malahan walau pun pelajaran dan tugasan kami menuntut masa yang lama berada di makmal namun dengan keramahan mereka, semua ini tidak menjadi satu masalah,” katanya lagi yang berasal dari London.
Pelajar-pelajar dari KU mengikuti program pertukaran pelajar masing-masing di PPSK, Pusat Racun Negara, Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan dan dan Pusat Kawalan Doping .Teks : Syuhada Abd. Aziz, Siti Naquiah Abdillah/Foto : Hafiz Meah Ghouse Meah/Mohd Azrul Mohd Azhar.
- Created on .
- Hits: 1632