ISLAM ADA KAEDAH UNTUK SOLAT OLEH PETUGAS KECEMASAN
KUBANG KERIAN, 4 Ogos 2015 - Menyedari kepentingan solat yang mengatasi perkara-perkara lain dalam kehidupan seseorang Islam, pihak Pengurusan Hospital USM menjemput penceramah terkenal dalam bidang ruksah dan dalil yang sahih melaksanakan solat untuk berkongsi ilmu dengan kakitangan yang terpaksa bekerja dalam waktu kritikal seperti pasukan kecemasan yang perlu sentiasa siap siaga sepanjang masa untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat iaitu Pegawai Agama Islam Istana Negeri Terengganu Al Fadhil Ustaz Hj Mohd Shukri Ali yang juga penasihat agama KDYMM Sultan Terengganu.
Menurut Mohd Shukri, apabila pekerja yang mendahului bekerja di bahagian kritikal menyatakan sukar menjaga solat terutama ketika bekerja, bahkan selalu terlepas dan terpaksa mengqadha' solat, hal ini boleh menimbulkan kegusaran dan perlu untuk mendapat penjelasan kerana terdapat kaedah yang membolehkan solat dilaksanakan dalam keadaan kecemasan.
“Berdasarkan dalil-dalil yang sahih umat Islam dibolehkan menjamakkan solat disebabkan kerana hajat yang benar-benar mendesak kerana sesuatu hajat apabila berhadapan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya yang seandainya berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya,” jelas Mohd Shukri kepada kira-kira 200 orang peserta yang menghadiri bengkel ini.
Ini katanya, termasuklah juga untuk pelajar di luar negara yang menduduki perperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek, pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan untuk meninggalkan kawasan jagaannya dan pelbagai lagi situasi seumpamanya.
"Namun ini tidak boleh dijadikan kebiasaan sehingga dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari," tegasnya lagi.
Peserta yang menghadiri bengkel ini, Pembantu Perawatan Kesihatan di Jabatan Kecemasan, Che Mohamad Hanif Deraman berkata, bengkel ini telah memberikan pendedahan serta maklumat yang berguna untuk dipraktikkan bagi memastikan ibadat solat dapat dilaksanakan walaupun dalam keadaan kecemasan.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin
- Created on .
- Hits: 1025