SUSU IBU TERBAIK UNTUK BAYI
PULAU PINANG, 3 Ogos 2015 – Susu ibu merupakan makanan terbaik dan lebih selamat untuk bayi kerana mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran dan perkembangan otak bayi termasuk 160 asid lemak yang tidak didapati dalam susu formula di samping lebih merapatkan hubungan di antara ibu dan anak melalui interaksi semasa proses penyusuan.
Demikian kata Perunding Pakar Bedah Payudara, Hospital Pakar Loh Guan Lye Pulau Pinang Dr. Teoh Mei Shi ketika menyampaikan ceramah kesihatan dalam USM 1st Celebration of World Breastfeeding Week 2015 yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey di sini.
Jelasnya lagi, ibu yang baharu melahirkan anak wajar memberi susu badan sekurang-kurangnya enam bulan selepas melahirkan anaknya yang berdasarkan beberapa kajian mendapati menyusu badan boleh mengurangkan risiko kanser payudara, terutama dalam kalangan mereka yang menyusu badan selama setahun setengah hingga dua tahun.
"Di samping itu, bayi yang menyusu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga enam bulan yang pertama, mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat berbanding bayi yang tidak diberi susu ibu apatah lagi penyusuan susu ibu sebenarnya memberikan kebaikan kepada bayi dan ibu yang bukan hanya dirasai ketika bayi namun amat berkesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi dan pembentukan peribadi anak-anak," kata Mei Shi.
Mengambil pengalaman dirinya yang turut memberikan susu kepada dua orang anaknya kerana menyedari khasiat dalam susu ibu terbukti dan tidak dapat ditandingi oleh susu formula memberitahu, kebaikannya ialah dapat menjimatkan wang sekitar RM3,000 hingga RM4,000 dalam tempoh setahun kerana hanya membeli pam susu yang berharga RM2,000 dan tahan bertahun-tahun.
“Suami pernah mencadangkan saya memberikan anak-anak susu formula kerana memahami tugas sebagai wanita berkerjaya yang menuntut masa yang lama di tempat kerja, namun saya menolaknya dengan alasan tidak ada yang dapat menandingi kuasa susu ibu yang membantu merapatkan lagi hubungan ibu dan anak, selain baik untuk imun kesihatan bayi, dan perancangan keluarga,” katanya lagi dalam sesi perkongsian selama hampir 30 minit itu dalam sesi “Breastfeeding for Working Moms, How to Feed Successfully”.
Tambahnya lagi, dengan gaya hidup masa kini yang sentiasa sibuk, ramai ibu bekerja menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka, namun mereka tidak harus berasa malu mengepam susu untuk bayi sekiranya ada masa lapang terutamanya waktu rehat di pejabat.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) menyeru agar para suami sentiasa menyokong isteri mereka dalam memberikan susu ibu berbanding susu formula kepada bayi.
“Usaha pihak penganjur khususnya dalam aktiviti-aktiviti sebegini seharusnya dipuji sebagai tanggungjawab sosial dalam memberikan kesedaran khususnya kepada masyarakat amnya mengenai ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk semua," kata Ching Mey.
Tegasnya, program seperti ini mampu untuk mendidik masyarakat supaya kembali kepada asas dalam memberikan penjagaan terbaik untuk bayi dan berharap agar program-program seumpama ini dilaksanakan lagi pada masa-masa akan datang.
USM 1st Celebration of World Breastfeeding Week 2015 berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok merupakan program anjuran Duta Pelajar Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM dengan kerjasama World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) dan Hospital Pakar Loh Guan Lye Pulau Pinang.
Yang hadir sama ialah Timbalan Dekan IPS USM Profesor Dr. Fauziah Ahmad dan para pegawai USM dan pelajar-pelajar.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim.
- Created on .
- Hits: 1897