USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DR. HAJI MUSA ALI TERIMA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

GetFileAttachmentggh

PULAU PINANG, 3 Ogos 2015 – Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) Dr. Haji Musa Ali baru-baru ini telah dilantik menjadi Felo Pelawat di University Of Palermo, Itali - merupakan satu-satunya felo dari dalam kalangan negara-negara Asia.

Musa dilantik menjadi felo pelawat di CED – System Dynamics Group, University Of Palermo, Itali untuk tempoh tiga tahun.

“Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan bagi USM, kerana pelantikan sebegini jarang berlaku dalam kalangan pegawai pentadbiran universiti, yang  merupakan suatu penghormatan kepada universiti khususnya bagi para pegawai pentadbiran USM,  tambahan pula lantikan ini dari luar negara,” kata Musa dalam satu sesi temubual khas bersama TVUSM, di pejabatnya di sini, hari ini.   

Melalui pelantikan tersebut Musa akan terlibat dalam mengendalikan seminar di samping penyelidikan bersama rakan penyelidik lain di Universiti  tersebut, antaranya  dalam  bidang kajian yang dikenal pasti seperti  pengurusan strategik sektor awam dan pembangunan kerangka pengukuran keberkesanan berasaskan keberhasilan. 

Musa yang sehingga kini telah menulis dua buah buku dengan yang terbaru ialah “Transformasi Organisasi: Konsep dan Teknik Pelaksanaan” berkata pelantikan itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada PIPPA.

“Setakat ini, pihak PIPPA telah menjalankan pelbagai usaha meningkatkan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik peringkat antarabangsa.  Kerjasama strategik ini sangat penting kerana kita dapat melihat amalan terbaik mereka dan sedikit sebanyak membuka ruang untuk belajar tentang perkembangan atau kaedah terbaharu yang diguna pakai dalam melonjak kualiti perkhidmatan awam melalui latihan-latihan untuk lebih kompetitif mendepani cabaran-cabaran semasa.

“Di samping itu, kita juga dapat mempelajari kesilapan yang mereka lakukan dalam proses melaksanakan sesuatu program di negara masing-masing,” ujarnya lagi yang juga penceramah jemputan di Global HRD Conference anjuran Central Officials Training Institute (COTI) di Korea Selatan pada awal bulan September ini.

Tambahnya lagi, untuk terus kekal relevan dan kompetitif, organisasi kecil atau besar perlu sentiasa mengupayakan bakat staf dengan cara mengubah “mindset”  kakitangannya melalui program pembangunan sumber manusia yang sistematik dan berteraskan kompetensi.

Musa telah memulakan kerjaya di USM sebagai Penolong Pendaftar di Kampus Kesihatan pada tahun 1990 dan sehingga kini telah berkhidmat hampir 25 tahun dan ditempatkan di pelbagai bahagian dan unit di kampus kesihatan dan induk.

Sepanjang perkhidmatannya beliau telah menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah Pentadbir Cemerlang USM (2008), Anugerah Maal Hijrah (2008) dan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang USM (1995, 2003, 2004 dan 2014). Pada tahun 2010, semasa melanjutkan pelajaran di Australia, beliau juga berpeluang bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah agensi kerajaan di Australia dan bertanggungjawab membangunkan kerangka kompetensi jabatan berkenaan.

Di samping bertugas sebagai Pengarah PIPPA, Musa kini juga adalah Penyelaras Program Pemindahan Ilmu (Pemantauan), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga pakar rujuk perancangan strategik dan pengurusan  sumber manusia untuk pelbagai agensi pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Teks: Siti Naquiah Abdillah​

  • Created on .
  • Hits: 2152

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024