SUKSIS USM BUKTI KEJAYAAN – 39 ORANG DIPILIH SERTAI PDRM
PULAU PINANG, 3 Ogos 2015 - Seramai 39 orang bekas pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik sebagai Pegawai Polis berpangkat Inspektor bagi sesi pengambilan kadet Inspektor Polis baru-baru ini.
Menurut Timbalan Penguasa Polis Kor Suksis merangkap Ajutan Kor SUKSIS USM, Deputi Superintentan Polis Kor SUKSIS, Dr Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah, jumlah itu merupakan kejayaan yang terbesar dalam sejarah SUKSIS USM.
“Saya yakin mereka yang terpilih adalah dalam kalangan yang terbaik daripada ribuan yang memohon melalui saluran pengambilan Kadet Inspektor dalam kalangan pelatih Kor SUKSIS yang menunjukkan bahawa pendedahan yang telah dilakukan oleh PDRM untuk menyedarkan mereka mencapai kejayaan sehingga mampu membawa penyertaan ke dalam pasukan polis sebagai hasil daripada latihan yang telah kita berikan dengan setiap latihan itu mampu menjadikan mereka anggota yang lebih berdisiplin dan mempunyai sifat kepimpinan yang ingin ditonjolkan,” kata Mohd Adi Firdaus.
Tegasnya lagi, syarat pengambilan untuk menjadi pegawai polis juga bukanlah berdasarkan kepada fizikal sahaja, tetapi pencapaian akademik juga amat dititik beratkan sekaligus membuktikan mereka yang terpilih ini turut membawa nama baik USM sebagai sebuah universiti APEX yang berkemampuan dari segi fizikal dan cemerlang dalam bidang akademik apatah lagi pelatih-pelatih yang terpilih ini juga membuktikan kejayaan mereka dalam bidang akademik apabila hanya pelatih yang mendapat CGPA 2.7 ke atas sahaja yang layak untuk ditemuduga dan dipilih sebagai pegawai polis.
Terdapat ramai pelatih Kor SUKSIS datang dari kalangan mereka yang mengambil pengajian dalam bidang pendidikan yang membolehkan mereka ini menjadi guru atau pendidik apabila tamat pengajian.
“Jika tidak, tentu lebih ramai bekas pelatih Kor SUKSIS layak memohon sebagai pegawai polis,” katanya lagi.
Tambahnya, dengan pendedahan yang diberikan dari aspek perundangan dan penguatkuasaan ketika menjalani latihan sebagai pelatih Kor SUKSIS, mereka mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam menegakkan undang-undang negara ketika menempuh alam pekerjaan.
“Ketika menjalani latihan sebagai pelatih Kor SUKSIS lagi di universiti, para pelatih ini telah didedahkan tentang undang-undang dan kenegaraan melalui kelas-kelas yang mereka hadiri setiap hujung minggu di samping terlibat dalam aktiviti komuniti dan khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh Kor SUKSIS selain menjadi ‘mata dan telinga’ membantu pihak universiti membanteras gejala tidak sihat di dalam kampus, yang saya yakin dapat membantu mereka dalam menjalani dunia pekerjaan sebagai pegawai polis kelak,” tegas Mohd Adi Firdaus.
Kor SUKSIS ditubuhkan pada 30 Mei 2005 dengan kekuatan pengambilan pertama seramai 45 orang pelatih.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 2066