USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH KOLABORASI DENGAN SWASTA UNTUK LAHIRKAN USAHAWAN FARMASI

PULAU PINANG, 3 Ogos 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) menjalin kerjasama dengan CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd (CCM) melalui  program Jalinan Antara Industri (JATI) bagi melahirkan usahawan bidang farmasi dalam kalangan siswazah ijazah pertama.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr Omar Osman setiap tahun USM melahirkan lebih 120 orang siswazah dalam bidang Farmasi dan berharap 20 orang akan mula melihat industri farmasi sebagai kerjaya pada masa hadapan bukan sahaja melihat bidang Farmasi untuk menjadi ahli farmasi profesional.

"Jalinan kerjasama ini bukan sahaja dalam bidang penyelidikan namun dapat meningkatkan jaringan dengan masyarakat setempat untuk bersama-sama menjadi relevan dalam konteks komuniti," tambah Omar.

Demikian kata Naib Canselor pada majlis penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan CCM di sini hari ini.

MoU ini adalah bertujuan untuk menjalankan projek JATI di samping merapatkan hubungan antara universiti dan juga industri serta menjadikan graduan lebih kompetitif dan relevan dalam industri berdasarkan permintaan peluang kerjaya dalam bidang farmasi.

USM menekankan kepada konsep kolaborasi dengan pelbagai pihak dan agensi tempatan dan antarabangsa yang sehingga kini berjumlah lebih 230 persefahaman ditandatangani sejak tahun 2014.

"Kerjasama dengan USM dijalinkan sejak tahun 2011 dan melalui JATI kedua-dua pihak dapat menghadapi dunia kerjaya yang sebenar selepas graduasi," kata Ketua Pegawai Pengkomersialan CCN, Billy Urudra.

CCM berhasrat melahirkan seramai 500 orang usahawan farmasi pada tahun 2020 dan projek JATI juga dijalankan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA dan Universiti Malaysia Sabah.

Di USM, seramai 60 orang pelajar telah menyertai JATI dan jumlah ini akan bertambah dari tahun ke tahun.  Pada masa yang sama CCM berhasrat untuk menubuhkan kedai konsep Halal atau Halal Kiosk di USM untuk mempromosikan produk kesihatan yang halal.

Turut hadir ialah Dekan PPSF, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato' Dr. See Ching Mey serta Pengurus Kanan Pemasaran CCM, Shamsul Idham Ahad. ​

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1497

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024