MAKLUMAT KESAN KANSER PERINGKAT AWAL PENTING UNTUK SELAMAT NYAWA
KUBANG KERIAN, 2 Ogos 2015 - Menyedari kepentingan informasi penyakit kanser kepada masyarakat, Jabatan Otorinolaringologi (ORL), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) mengadakan seminar separuh hari ‘USM Head And Neck Cancer Awareness Program’ sempena sambutan Hari Kanser Kepala Dan Leher Sedunia hari ini.
Pengarah Program, Profesor Madya Dr Irfan Mohamad menjelaskan, Jabatan ORL mengadakan program ini untuk perluaskan lagi capaian maklumat ini kepada masyarakat.
“Masyarakat kita sebenarnya kurang memberi perhatian kepada kepentingan membuat ujian saringan kesihatan yang penting untuk memastikan seseorang itu bebas daripada penyakit berbahaya seperti kanser kepala dan leher yang antara punca utamanya ialah merokok," kata Irfan.
Tambahnya lagi, masyarakat perlu didedahkan dengan sebanyak mungkin informasi berkenaan penyakit-penyakit merbahaya ini yang berkait langsung dengan kesihatan diri berbanding dengan isu-isu lain.
Menurut Irfan, pihaknya merancang untuk melaksanakan program pendidikan kesihatan serta saringan kesihatan kepada masyarakat di tempat-tempat terbuka seperti pusat membeli-belah di samping sekolah-sekolah yang mensasarkan golongan pelajar bagi mengawal berlakunya penyakit di peringkat awal lagi.
Jelasnya lagi, perkongsian maklumat dengan organisasi kesihatan yang lain dapat membantu Jabatan ORL menjalankan kajian dengan lebih meluas kerana kes-kes yang terdapat di hospital-hospital adalah lebih banyak dengan membantu menyalurkan maklumat terkini kepada masyarakat bagi mendidik mereka membuat pengesanan lebih awal melalui rawatan moden.
Pakar Runding ORL, Hospital Taiping Avatar Singh pula menjelaskan, kebanyakan hospital menghadapi situasi yang hampir sama apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan ketika kanser yang mereka hadapi telah berada di tahap yang serius.
“Keadaan ini menyebabkan rawatan di peringkat awal yang lebih efektif tidak dapat diberikan kepada pesakit, dan saya menyambut baik hasrat Jabatan ORL menjalinkan kerjasama sebegini bagi membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya kita sama-sama dapat mengurangkan statistik kematian akibat kanser kepala dan leher.
Bengkel ini dihadiri oleh 108 peserta yang terlibat dengan bidang perawatan dari USM dan juga organisasi luar.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 1223