POKB SUMBANG LEBIH RM200,000 BANTU PESAKIT KANSER
KUBANG KERIAN, 3 Ogos 2015 - Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyumbangkan lebih RM200,000 untuk membantu pesakit kanser di Kelantan menerusi Tabung Kasih Kanser Orang Kota Bharu tahun lalu.
Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, sumbangan ini kini turut diperluas kepada pesakit Hospital USM yang dijangka diperluaskan lagi kepada seluruh hospital di Kelantan untuk membantu terutamanya pesakit kanser yang kurang berkemampuan.
Pada tahun lalu, menurut statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 10 peratus pesakit kanser terdiri daripada kanak-kanak, 50 peratus lelaki dan 35 peratus wanita dengan jumlah pesakit kanak-kanak adalah lebih tinggi daripada pesakit dewasa ditambah dengan ibu bapa mereka yang tiada pendapatan dan tidak berpengetahuan mengenai kanser.
Menurut Sheikh Ahmad Dasuki, terdapat ibu bapa yang terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaga anak-anak di hospital.
"POKB berusaha untuk memberikan bantuan kepada pesakit kanser daripada setiap sudut dengan mengoptimumkan sumber-sumber supaya harapan mereka untuk kembali sembuh akan menjadi kenyataan," tambahnya selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pesakit kanser kanak-kanak di Hospital USM.
Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed mengalu-alukan usaha POKB ini dan menghargai bantuan yang diberikan kepada pesakit kanser kanak-kanak terssbut.
Mafauzy juga memuji usaha POKB yang banyak membantu Hospital USM melalui pelbagai sumbangan yang diberi dari semasa ke semasa.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mahmood
- Created on .
- Hits: 1092