RAWATAN SEGERA DI HOSPITAL PENTING TANGANI KANSER
KUBANG KERIAN, 2 Ogos 2015 - Bersempena sambutan Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia yang disambut pada 27 Julai setiap tahun, Jabatan Otorinolaringologi-HNS, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan ‘USM Head And Neck Cancer Awareness Programme’ untuk menimbulkan kesedaran serta meningkatkan tahap perawatan dan pengurusan pesakit kanser dalam kalangan masyarakat dengan lebih efektif.
Menurut Ketua Jabatan Otorinolaringologi-HNS, Profesor Dr Baharuddin Abdullah, masyarakat kita lebih suka mendapatkan rawatan secara kampung atau alternatif berbanding rawatan moden di hospital yang menimbulkan kesukaran untuk memberikan rawatan secara efektif kerana pesakit hanya datang ke hospital apabila berada di peringkat yang telah serius.
Masyarakat perlu diberi kesedaran tentang pengesanan awal penyakit kanser di mana mereka boleh membuat ujian saringan di klinik-klinik kesihatan yang berdekatan bagi memudahkan kes mereka dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya jika didapati mereka mengidap penyakit tersebut,” tambahnya lagi.
Program yang pertama kali diadakan ini menumpukan kepada ceramah berkaitan status semasa kanser kepala dan leher, teknik diagnostik, kaedah perawatan dan pengurusan pesakit kanser kepala secara holistik serta penubuhan protem Kelab Sokongan Pesakit Kanser dan persembahan poster berkaitan.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 1253