6 PELAJAR KERJA SOSIAL BANTU PESAKIT HUSM
KUBANG KERIAN, 2 Ogos 2015 – Seramai 30 orang pesakit kanak-kanak Wad 6 Utara pagi ini tersenyum riang menerima sumbangan berbentuk kuih dan duit raya dari pelajar-pelajar jurusan kerja sosial Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut ketua program Tautan Kasih, Muhd Luqman Mohd Zain, melalui usaha murni ini, kami ingin memberi peluang kepada para pesakit merasai kegembiraan seperti orang lain dalam menyambut hari raya selain merapatkan lagi hubungan antara kami pelajar dengan komuniti luar terutamanya pesakit kanser.
Tambahnya lagi, masyarakat perlu lebih peka terhadap mereka yang memerlukan bantuan mahupun sokongan kepada mereka yang memerlukan dan melalui program sebegini kami dapat lebih menyelami dan berkongsi pengalaman di samping belajar tentang suasana sebenar yang dilalui oleh para pesakit.
Seramai enam orang pelajar yang sedang menjalani latihan industri di sini terlibat dalam usaha mendapatkan dana sejak Ramadhan lalu melalui kutipan tabung derma, sumbangan pensyarah, staf Kampus Kesihatan dan Jemaah Masjid Sultan Ismail Petra. Berkat bulan Ramadhan.“Alhamdulillah berkat sokongan semua pihak, kami berjaya mengumpul sejumlah wang yang mencukupi bagi menjayakan program ini,” kata Muhd. Luqman.
Terdahulu mereka meraikan seorang pesakit kanser di rumahnya yang dikenalpasti dengan bantuan Unit Kebajikan Perubatan Hospital USM.
Mereka telah meluangkan masa bersama keluarga tersebut dalam bersama-sama menyambut Aidilfitri dengan segala persiapan disediakan oleh pelajar sendiri bagi memastikan kegembiraan keluarga pesakit.
Luqman berharap, dengan penganjuran program sebegini dapat memberikan pengalaman yang begitu berharga untuk mendekati jiwa masyarakat serta melahirkan insan yang peka terhadap aktiviti-aktiviti kesukarelawanan.
Teks/Foto: Abdul Aziz Latif / Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 1148