USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GIGI GOYAH BOLEH DIRAWAT, KATA PAKAR

10463041 10207242181237220 2765411754931908943 n

KUBANG KERIAN, 2 Ogos 2015 – Ramai dalam kalangan kita tidak menitikberat cara penjagaan gigi yang menjadi salah satu punca gigi menjadi goyah dan akhirnya dicabut.

Menurut Pensyarah Jabatan Restoratif, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Erry Mochamad Arief, ramai yang tidak mengetahui bahawa gigi yang sihat dan normal juga mempunyai sedikit goyah.

“Kegoyahan atau kegoyangan yang normal tidak terasa dan disedari kerana kegoyangannya hanya 0.01 milimeter berbeza dengan gigi goyah yang tidak normal kegoyangannya adalah sekitar satu milimeter atau lebih,” katanya dalam sesi temuramah di radio tempatan baru-baru ini.Gigi yang goyah dapat dikelaskan kepada 4 kategori iaitu kegoyahan normal, kegoyahan kurang satu milimeter, satu milimeter atau lebih dan kegoyahan vertikal.

Menurut Erry, banyak punca penyebab gigi goyah iaitu disebabkan kehilangan tisu penyokong, kehamilan, penyakit kencing manis, penyakit pada tulang rahang atau kanser, pergantian gigi kanak-kanak kepada gigi dewasa, kecederaan, akar gigi patah dan banyak punca lain lagi.

11147172 10207242200997714 1268043781419867928 n

Tambahnya, kegoyahan gigi boleh dirawat pada peringkat awal tetapi pesakit perlu berjumpa doktor gigi bagi memastikan punca dan rawatan yang akan diberikan.

“Jika ruang antara gigi dan tulang melebar, rawatannya adalah dengan mengurangkan ruang permukaan oklusal gigi tersebut agar tidak menyentuh gigi lawannya dan jika kurangnya tulang penyokong pada gigi maka rawatan yang sesuai adalah dengan melakukan ‘splinting’,” jelas Erry.

Langkah penjagaan gigi seperti memberus gigi selepas makan, mengelak menggigit benda keras, mendapatkan rawatan “scalling” dan rawatan rutin di klinik gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun adalah penting dalam menangani hal ini, nasihatnya lagi.

Teks/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria / Mohd Hafiz Ya’acob

  • Created on .
  • Hits: 1376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024