APLIKASI UJIAN GLUKOS RAWAK GANTI BUKU REKOD 555 UNTUK PESAKIT DIABETES
PULAU PINANG, 1 Ogos 2015 – Seiring dengan peredaran zaman teknologi masa kini, satu sistem menggunakan aplikasi telefon pintar atau tablet telah dibangunkan bagi mengatasi masalah penggunaan buku rekod 555 untuk merekod dan pemonitoran glukos darah pesakit diabetes dengan lebih efisyen.
Inilah hasrat untuk dicapai melalui inovasi yang telah dilakukan oleh kumpulan Inovatif & Kreatif The Newcomers dari Pusat Sejahtera USM melalui Aplikasi Ujian Glukos Rawak yang membawa kejayaan menjuarai Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) 2015 kategori Pengurusan yang berlangsung di Dewan Budaya USM semalam.
Aplikasi Ujian Glukos Rawak ini telah diwujudkan setelah mendapat hasil yang positif melalui kaji selidik yang dilakukan terhadap 166 orang pesakit diabetes selama 2 minggu oleh Pusat Sejahtera USM.
Ketua kumpulan The Newcomers, Penolong Pegawai Farmasi di Pusat Sejahtera (Pusat Perubatan dan Pergigian) Kampus Induk USM, Mazura Zubaidi, 38 berkata, sistem yang dibangunkan ini adalah bagi mengatasi masalah dari penggunaan buku rekod 555 yang kurang efisyen dan berharap mampu membantu para pesakit diabetes.
“Aplikasi ini merupakan satu aplikasi yang mesra pengguna dan perlu dimuat turun ke dalam telefon bimbit atau tablet pesakit dan tata cara penggunaan aplikasi tersebut akan dipaparkan di dalam aplikasi ini,” jelas Mazura.
Katanya lagi, pesakit hanya perlu memasukkan data/nilai untuk setiap ujian glukos pada darah yang telah dilakukan dan melalui aplikasi ini, graf ujian glukos yang telah direkod dapat diperlihatkan untuk perbandingan melalui aplikasi ini.
“Data setiap rekod penilaian ujian glukos yang telah dimasukkan ke dalam aplikasi ini juga disertakan dengan ruangan nota untuk pesakit mencatat jenis makanan yang diambil semasa ujian dilakukan sebagai peringatan kepada pesakit berkenaan makanan yang mungkin meningkatkan paras bacaan glukosnya, dan keputusan ujian glukos yang dimasukkan ke dalam aplikasi ini akan menunjukkan keputusan secara automatik sama ada pesakit tersebut mengalami hyperglycemia, hypoglycemia, 'acceptable' ataupun 'ideal' melalui warna yang berlainan untuk setiap bacaan glukos,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pesakit diabetes, Encik Rajah Muthusamy berkata, aplikasi yang diwujudkan ini telah membantu beliau untuk merekod dan memonitor glukos darah beliau setiap kali rawatan dan perkhidmatan ini amat memuaskan.
"Selain itu, Aplikasi Ujian Glukos Rawak ini perlu ditambahbaik sedikit pada bahagian ujian yang terkini perlu berada di bahagian atas sistem," katanya.
Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr Normala Abdul Wahid pula berkata, dengan sistem aplikasi Ujian Glukos Rawak ini, Pusat Sejahtera dapat mengatasi masalah pemonitoran pesakit diabetes.
“Saya juga berterima kasih kepada Kumpulan Inovatif & Kreatif Pusat Sejahtera USM dengan inovasi yang telah dilakukan ini,” tambahnya lagi.
Melalui penggunaan aplikasi ini, pesakit tidak perlu lagi menggunakan Buku Rekod 555 untuk mencatat maklumat berkenaan ujian glukos serta tidak lagi perlu membawa buku tersebut semasa hari temujanji di Pusat Sejahtera kerana pesakit hanya perlu menunjukkan nilai yang telahpun dicatatkan di dalam aplikasi tersebut.
Aplikasi Ujian Glukos Rawak ini juga dilengkapi dengan artikel yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup yang sihat.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa/Zamani Abdul Rahim.
- Created on .
- Hits: 1331