USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GALAKSI R-3, THE NEWCOMERS JUARA KIK 2015

DSC 0353nbj

PULAU PINANG, 31 Julai 2015 - Konvensyen Kumpulan Inovasi & Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) menobatkan kumpulan Galaksi R-3 dan The Newcomers sebagai juara bagi kategori teknikal dan pengurusan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300, piala pusingan dan piala iringan yang berlangsung di sini, hari ini.

DSC 0346ghjgh

Ketua Kumpulan Galaksi R-3 yang merupakan Jurupulih Perubatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Bertam, Kepala Batas Muhammad Akasyah Baharum, 29, berkata, usaha mereka untuk menghasilkan produk terbaik berbaloi apabila muncul juara bagi kategori teknikal pada KIK 2015 kali ini selain mengharapkan Medi-bike Exerciser ini dapat memberi perkhidmatan perawatan dan pemulihan kesihatan yang berkesan untuk meredakan kesakitan dan mencapai pemulihan awal ke tahap maksima.

“Kami gembira dengan kemenangan ini dan berharap agar penciptaan alat ini dapat meningkatkan kualiti rawatan dalam mempercepatkan proses pemulihan serta mempromosikan kesihatan yang bermutu, cekap dan profesional dengan sikap penyayang dan nilai-nilai murni,” ujarnya mewakili sembilan orang ahli kumpulan yang lain.

DSC 0352fgj

Sementara itu, Ketua Kumpulan The Newcomers, Penolong Pegawai Farmasi di Pusat Sejahtera (Pusat Perubatan dan Pergigian) Kampus Induk, USM Mazura Zubaidi, 38, berkata, projek yang dibangunkan melalui satu sistem dengan menggunakan aplikasi “smartphone” atau tablet bagi mengatasi masalah penggunaan buku rekod 555 untuk pemonitoran glukos darah pesakit diabetes yang kurang efisyen seiring dengan peredaran zaman dan teknologi terkini ini diharap mampu untuk membantu para pesakit diabetes.

“Alhamdulillah dengan kemenangan ini, setakat ini sahaja lebih kurang 160 orang pesakit diabetes telah mencuba Aplikasi Ujian Glukos Rawak yang juga turut dilengkapi dengan artikel yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup yang sihat,” katanya mewakili tujuh ahli kumpulan lain.

DSC 0344fgjg

Naib Johan bagi kategori teknikal dan pengurusan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan piala iringan pula disandang oleh kumpulan Fast (Teknikal) dan G-nius (Pengurusan).

Fast yang dianggotai oleh kakitangan Unit Kejururawatan IPPT mencipta i-Tag iaitu pengusung yang ringan, boleh dilipat dan lebih menjimatkan kos untuk memastikan kerja-kerja menyelamat dapat dilakukan dengan lebih cepat dan efisyen. I-Tag diperbuat daripada kain jenis 100 % poly drill yang tahan lasak dan mudah dibawa oleh paramedik.

DSC 0348fngj

Sementara itu, G-Nius pula telah menghasilkan kaedah baharu untuk mengatasi masalah kelewatan proses bayaran kepada pembekal selain telah mencapai tahap keakuran bayaran sehingga 97% berbanding sebelum projek, keakuran hanya sebanyak 65% dengan beberapa langkah baharu bagi melicinkan proses bayaran.

Sebanyak enam kumpulan menyertai KIK 2015 kali ini dengan dua kategori utama dipertandingkan iaitu Pengurusan dan Teknikal termasuklah G-nius (Pengurusan), Fast (Teknikal), The Newcomers (Pengurusan), Unique 10 (Pengurusan), Paradigma (Pengurusan), dan Galaksi R-3 (Teknikal).

Penganjuran KIK 2015 ini merupakan penanda aras dan pelantar bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan warga kampus secara keseluruhan serta membantu memupuk kreativiti dan inovasi bagi membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa/Zamani Abdul Rahim.

  • Created on .
  • Hits: 1649

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024