USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA KAMPUS DISARAN BUDAYAKAN INOVASI DAN KREATIVITI

DSC 0324hgh

PULAU PINANG, 31 Julai 2015 - Penganjuran  Konvensyen Kumpulan Inovasi & Kreatif (KIK) ini  hendaklah  diterjemahkan sebagai  komitmen  berterusan  untuk menambah  baik  sistem penyampaian  perkhidmatan Universiti dan  membudayakan elemen kreativiti  dan  inovasi  di  dalam  diri  kakitangan Universiti  pada  semua  peringkat  organisasi dalam meningkatkan  tahap  kualiti  perkhidmatan yang ada.

Demikian tegas Timbalan Naib Canselor (TNC)  Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan penutup Konvensyen Kumpulan Inovasi & Kreatif (KIK) USM hari ini.

Menurut Muhamad, Konvensyen KIK yang dianjurkan ini merupakan antara salah satu instrumen bagi membantu meningkatkan kebolehcapaian KPI setiap Pusat Tanggungjawab melalui penyelesaian kepada masalah-masalah yang timbul  dalam melaksanakan proses kerja harian.

“Apabila masalah dapat diselesaikan, ini  bermakna  ada  penemuan  cara  dan  kaedah  baharu  dalam menyelesaikan  masalah-masalah  tersebut  yang  seterusnya  dapat mencetuskan  nilai-nilai  kreativiti  dan  inovasi  yang  turut  menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negara," kata Muhamad.

DSC 0341ujgh

Tambahnya lagi, cabaran  bagi  membudayakan  kreativiti  dan inovasi  dalam  setiap organisasi adalah  satu  tanggungjawab berat  yang  menuntut  komitmen  tinggi  dari  semua  pihak untuk memastikan  pembudayaan  kreatif  dan  inovasi  dengan mengubah  cara  berfikir  dan  bertindak  yang  biasa  kepada  luar  biasa  “think out of the box” untuk menghasilkan reka cipta dan produk baru.

"Seluruh warga Universiti perlu  berfikir di luar kotak  dalam  mewujudkan kumpulan  KIK  yang  mampu  memberi  hasil  kreativiti  dan  inovasi  yang bukan  sahaja  menyelesaikan  sesuatu  masalah,  malahan  menjadi sesuatu  perkhidmatan  atau  produk  yang  baru  yang  mampu meningkatkan perkhidmatan universiti melalui penglibatan  pelbagai  peringkat  jawatan dengan setiap  peserta  diberi  peluang  yang  sama  rata  dalam menyumbangkan  idea  dan  pendapat serta  seterusnya melaksanakan langkah-langkah penyelesaian atau penambahbaikan terhadap proses kerja sedia ada.

Sementara itu, Pemangku Bendahari USM merangkap Pengerusi KIK 2015, Dr. Rohayati Mohd Isa berkata,  KIK bukan  sahaja  memupuk  budaya inovasi  dan  kreatif  malah turut melatih anggota organisasi untuk tampil berani dalam merangka dan menyusun gerak  kerja  serta  melaksanakan  tindakan  perubahan  ke  arah memantapkan  keupayaan  sumber  manusia  yang  ada  demi  kebaikan organisasi.

“Impak kepada projek inovatif dan kreatif ini akan dapat menghasilkan penciptaan nilai, memperbaiki kaedah, prosedur serta cara kerja seharian setiap kakitangan universiti,” ujar Rohayati lagi.

Rohayati turut melahirkan rasa bangga dengan penglibatan kakitangan dalam KIK sebagai usaha meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja di universiti.

Sebanyak enam kumpulan menyertai KIK 2015 kali ini dengan dua kategori utama dipertandingkan iaitu Pengurusan dan Teknikal termasuklah G-nius (Pengurusan), Fast (Teknikal), The Newcomers (Pengurusan), Unique 10 (Pengurusan), Paradigma (Pengurusan), dan Galaksi R-3 (Teknikal).

Penganjuran KIK 2015 ini merupakan penanda aras dan pelantar bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan warga kampus secara keseluruhan serta membantu memupuk kreativiti dan inovasi bagi membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa & Zamani Abdul Rahim.

  • Created on .
  • Hits: 1534

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024