USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HINDARI RASUAH, KESANNYA AMAT BESAR KEPADA KEHIDUPAN

11204026 10207230766431857 6304585916234713069 n

PULAU PINANG, 31 Julai 2015 – "Hindari rasuah kerana kesannya mampu memusnahkan kehidupan seluruh keluarga," demikian pesan bekas Majistret Kuala Krai yang kini menjadi penceramah bebas Firdaus Ramlan, yang pernah disabitkan dengan kesalahan mengambil rasuah pada tahun 2010, dalam Program Integriti Bersama Jabatan Pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM)  yang dianjurkan oleh Unit Integriti, Pejabat Perundangan USM melibatkan kesemua staf Jabatan Pembangunan daripada pelbagai gred perkhidmatan.

Dalam pengkisahan yang bertajuk "Dari tirai besi: pengalaman tersugung dek rasuah, bangun membendung rasuah" itu, Firdaus mendedahkan bagaimana  bahana rasuah yang membawa ibu, adik dan bapa tirinya terlibat dalam kemalangan jalanraya beberapa hari sebelum sebutan kesnya.

"Saya menyambut jasad ibu di dalam liang lahad dengan melihat sekujur tubuh yang masih merah dengan penuh penyesalan kerana tidak sempat memohon maaf jika sekiranya beliau pernah memberikan wang hasil daripada rasuah kepada ibunya setiap bulan," kata Furdaus.

Katanya lagi, bukan itu sahaja, malah 48 pasang kasut daripada 50 pasang telah dimakan oleh anai-anai dan hanya 2 pasang kasutnya yang dibeli dengan wang gaji masih terselamat.

1517510 10207230767711889 7636633987423452197 n

Akibat daripada rasuah, Firdaus dan keluarga turut dicemuh oleh masyarakat, rakan-rakan seperjuangan tidak lagi menegur dan diri tersisih daripada masyarakat.

"Segala bantuan  kepada masyarakat di masa yang lalu telah dimomokkan sebagai tajaan daripada wang rasuah dan hanya apabila hidup tertekan dari segala sudut termasuk kesempitan kewangan, saya kembali bermohon kepada Allah di sebalik dugaan hebat yang diterima ketika berada di dalam penjara," katanya yang begitu menyentuh perasaan semua peserta.

Firdaus menasihatkan semua orang agar sentiasa menghargai keluarga, hargai kebebasan yang ada sekarang dan hayati hidup dengan pegangan agama dan yang penting menjauhi rasuah.

Teks: Salinatin Mohamad Saleh, Unit Integriti, Pejabat Perundangan USM

  • Created on .
  • Hits: 1681

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024