NC USM KUNJUNG HORMAT DUTA MALAYSIA DI THAILAND KUKUH KERJASAMA AKADEMIK
BANGKOK THAILAND, 31 Julai 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Malaysia di Thailand TYT Dato' Nazirah Hussain di pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand di sini.
"Melalui kunjungan hormat ini kedua-dua pihak dapat memperkukuhkan hubungan dalam bidang akademik dan juga keusahawanan malah TYT Dato' Nazirah bersetuju dengan pendekatan USM dalam melengkapkan kemahiran pentadbir dalam usaha-usaha mendekati komuniti dan golongan sasaran B40 yang bukan sahaja bergantung kepada ahli akademik dan pelajar,” kata Naib Canselor.
Omar berada di sini untik menghadiri persidangan A lead: Asean Future Higher Administration (AFHA) anjuran bersama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Jawatankuasa Latihan Bersama Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia (JALUMA) dengan kerjasama Chulalongkorn University dan Kasetsart University.
“Pihak kedutaan Malaysia di Thailand juga amat menyokong sebarang kerjasama yang akan dijalinkan serta berharap usaha ini diteruskan dan dimantapkan oleh USM mengenai aktiviti-aktiviti merentas benua," tambah Omar lagi.
Tambah Naib Canselor lagi, USM berhasrat membawa TYT Dato' Nazirah ke Pulau Pinang untuk berkongsi ilmu dengan warga USM bersempena Ambassador Summit yang akan diadakan pada bulan September nanti.
Yang hadir sama ialah Pendaftar USM merangkap Pengerusi JALUMA, Siti Zubaidah A. Hamid yang akan turut menghadiri AFHA di sini yang bermula malam tadi hingga 4 Ogos 2015. - Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1227