INOVASI PENYELIDIK JADI MENU JAMUAN RAYA USM
PULAU PINANG, 31 Jul. 2015 – Produk makanan sihat inovasi penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk burger cendawan, biskut diperbuat dari tepung cendawan (Nutri Mash Biscuits) dan mi kurus antara menu menarik yang disajikan sempena Sambutan Aidilfitri 1USM di sini semalam.
Biskut Nutri Mash dan burger cendawan adalah hasil inovasi penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak manakala mi kurus atau mi berlapis yang mengandungi kapsaicin tinggi dan membantu pembakaran lemak dihasilkan sekumpulan penyelidik yang diketuai Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Dr. Azhar Mat Easa.
Ketiga-tiga menu itu bukan sekadar menggamit pengunjung, malah turut berjaya menarik perhatian tetamu khas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas dan tetamu kehormat yang lain.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman turut berpeluang mencuba sendiri cara memasak burger cendawan di majlis berkenaan yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung.
Wan Rosli berkata, beliau tidak menyangka sambutan terhadap menu yang dibawakan khas untuk sambutan aidilfitri itu sangat memberangsangkan dan pengujung berbaris panjang untuk merasai kenikmatan burger dan biskut hasilannya.
Nutri Mush ini adalah biskut yang mempunyai serat tinggi dihasilkan daripada tepung cendawan tiram yang menggantikan tepung gandum dalam kuantiti tertentu dikatakan amat baik untuk kesihatan.
Satu pek biskut Nutri mengandungi 4% daripada cendawan tiram kering atau bersamaan dengan 40% daripada cendawan tiram yang segar dikatakan mampu mencegah penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, kanser, kencing manis dan penyakit kronik yang lain.
“Produk Nutri Mush Biscuits ini adalah produk yang dibangunkan hasil dari penyelidikan kami sejak 2010 telah dikomersialkan oleh Multi Sunray Sdn Bhd,” kata Wan Rosli.
Biksut Nutri Mush juga mencipta sejarah apabila dinobat tempat pertama pada Ekspo Halal Antarabangsa Moscow 2015 atau Moscow International Halal Exhibition pada 21-23 Mei 2015 lalu di Crocus Expo International Exhibition Centre Russia.
Dalam pada itu, produk mi kurus pula dihasilkan dengan menggunakan teknik hubung silang paut protein yang diadun menggunakan formulasi khas bersifat kenyal dan padat, menyebabkan ia mampu bertahan lama dalam sistem penghadaman dan mengupayakan zat pedas bertindak aktif membakar kalori dalam tubuh.
Inovasi itu juga pernah menjulang nama penyelidik dalam pelbagai pertandingan termasuk mendapat pingat emas dalam International Invention and Technology Exhibition ITEX dan pelbagai lagi. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1463