USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

POT LUCK KEISTIMEWAAN RUMAH TERBUKA 1USM

11701183 10207230622908269 4964655165408033793 n

PULAU PINANG, 30 Julai 2015 – Konsep “Pot Luck” yang melibatkan pelbagai pusat tanggungjawab universiti yang menyumbangkan pelbagai juadah untuk dikongsi bersama-sama dalam usaha menjadikan sambutan sebagai milik bersama merentasi jabatan yang ada untuk mengeratkan silaturrahim berjaya dibuktikan dalam Majlis Sambutan Aidilfitri 1USM.

Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan bersempena Sambutan Aidilfitri Peringkat USM, di sini, hari ini.

11695902 10207230623788291 4083022022493158565 n

11206957 10207230625748340 8948504430812261177 n

Tidak kurang dari 5,000 orang warga USM membanjiri Permatang Pelajar dan sekitar Bangunan Canselori II seawal jam 2.00 petang dan semua juadah habis sekitar jam 5.30 petang. Tetamu turut dihiburkan oleh pemuzik Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya.

Menurut Omar, sambutan Aidilfitri berupaya mengukuhkan kasih sayang, memberi dan menerima serta bersyukur dengan apa yang ada untuk dikongsi bersama.

“Dalam majlis-majlis seperti ini juga, kita berusaha mengetengahkan hasil-hasil penyelidikan untuk menunjukkan bagaimana pelbagai produk yang ada dapat dikongsi dan dirasa bersama, malah ini hanyalah sebahagian kecil yang dapat kita tunjukkan walaupun biskut cendawan misalnya telah mendapat pengiktirafan di luar negara dan kini sedang dikomersialkan," kata Omar lagi.

11825604 10207230624548310 7327484205188124655 n

Tegasnya lagi, ini adalah sebahagian usaha USM untuk merakyatkan penyelidikan untuk faedah masyarakat seperti mana kejayaan memindahkan ilmu untuk pelbagai komuniti agar semua pihak dapat menikmati manfaat hasil penyelidikan-penyelidikan tersebut.

11828548 10207230622068248 5000732814831454353 n

11701183 10207230618508159 6415510755010213946 n

Tambah Omar lagi, selari dengan semangat kembali kepada fitrah dalam sambutan Aidilfitri ini, terdapat pasukan kerja USM yang kini berada di Kathmandu, Nepal untuk memberikan khidmat komuniti di sana untuk mengadakan projek satu rumah RM1,000 setelah berlakunya gempa bumi yang memusnahkan harta benda dan nyawa dan ini membuktikan USM benar-benar turun padang dan memaknakan usaha merakyatkan ilmu dan penyelidikan ini.

Naib Canselor turut menzahirkan rasa bangga terhadap usaha yang telah dilakukan para staf USM khususnya dalam usaha untuk mendekatkan universiti dengan komuniti termasuklah membantu anak-anak yatim, asnaf yang memerlukan, ibu tunggal, pesakit di hospital, Orang Kelainan Upaya dan mereka yang bertugas di hari raya, kempen menderma darah malah juga yang membantu mereka yang memerlukan termasuklah kutipan kilat.

11218754 10207230629188426 7600145276286736836 n

11694085 10207230628588411 2978545280962056677 n

11705191 10207230627908394 7840369902029947747 n

Majlis Sambutan Aidilfitri 1USM juga turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas bersama-sama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff yang diiringi dengan konvoi motosikal berkuasa besar USM Super Bikers.

11800621 10207230626948370 8044379103800162403 n

Yang hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Gabenor (LGU) USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan isteri Puan Sri Datin Norida Nachara Hamat; isteri Naib Canselor USM, Datin Noraizan Jamaludin; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan isteri; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff; ahli-ahli LGU, Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Zainal Ariffin Ishak, dekan-dekan, ketua-ketua jabatan dan para pegawai utama universiti.

Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd.Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1725

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024