BENGKEL KOLABORASI PENYELIDIKAN BUKA RUANG KERJASAMA EMPAT UNIVERSITI
KUBANG KERIAN, 29 Julai 2015 - Bengkel Kolaborasi Penyelidikan yang berlangsung selama dua hari di Dewan Utama Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) membuka ruang kerjasama antara empat Universiti di Pantai Timur dalam bidang penyelidikan.
Bengkel yang bertujuan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dalam bidang penyelidikan antara USM, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu diadakan bagi menyelesaikan masalah-masalah bersama yang dihadapi dalam projek penyelidikan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, bengkel ini dijalankan khusus untuk universiti-universiti di Pantai Timur yang menjalankan penyelidikan selaras dengan agenda APEX USM yang mengamalkan konsep perkongsian.
“USM berhasrat untuk berkongsi penyelidikan yang dijalankan dengan semua universiti bagi menggerakkan lagi agenda penyelidikan negara dan bengkel ini sebagai usaha pertama untuk tujuan tersebut dalam mengetengahkan hasil penyelidikan masing-masing melalui kolaborasi antara universiti-universiti awam," katanya merasmikan bengkel tersebut.
Muhamad berkata, kebanyakan universiti lebih suka bergerak mengikut agenda sendiri atau menjalinkan kerjasama dengan universiti luar negara tanpa menyedari bahawa universiti awam yang terdapat di Malaysia sebenarnya mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang penyelidikan.
“Sudah menjadi sikap dalam kalangan masyarakat kita yang lebih suka bekerjasama dengan universiti luar negara sedangkan kepakaran terhadap penyelidikan yang dicari terdapat dalam negara kita sendiri apatah lagi dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memartabat dan melonjakkan pengajian tinggi, kita perlu berganding bahu mengenalpasti sumber serta kepentingan kolaborasi penyelidikan bersama,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Bengkel Kolaborasi Penyelidikan merangkap Pengarah Pusat Inisiatif Penyelidikan Sains Klinikal & Kesihatan (CRI-CHS), Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Nik Soriani Yaacob pula berkata, bengkel yang pertama kali diadakan ini juga bertujuan untuk mengenalpasti bidang penyelidikan yang menjadi tumpuan dan kekuatan bagi sesebuah universiti.
“Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform untuk perbincangan bagi mewujudkan kerjasama antara universiti awam dalam menghasilkan penyelidikan yang bermakna dan mewujudkan kolaborasi jangka masa panjang,” katanya.
Tegasnya lagi, USM akan sentiasa membuat pemantauan susulan bagi memastikan kerjasama ini dapat diteruskan ke peringkat lebih tinggi dengan gabungan universiti-universiti Asia Tenggara.
Yang hadir sama dalam bengkel itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMK, Profesor Dr. Ahmad Kamal Harun; wakil Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMT, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Khairul Wan Mohamed Zin; dan wakil Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Profesor Dr. Barzani Gasim.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1384