USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR SEDIA GALAS AMANAH SEBAGAI AGEN PERUBAHAN

TAIPING, 29 Jul. 2015 – Kem Pemimpin Muda Prihatin Air-ESD, Sekolah-sekolah ASP-Net dan Kelab Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2015 dilihat mencapai objektif dalam memberi pemahaman jitu kepada para pelajar untuk lebih peka kepada isu pemeliharaan sumber air.

Kem berkenaan dianjurkan Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE Penang) yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama penuh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dan UNESCO-International Hydrological Programme (UNESCO-IHP Malaysia).

Ia bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang kepentingan air (sungai) dalam kehidupan, ekosistem sungai, kesan pembangunan setempat terhadap sumber air dan alam sekitar.

Salah seorang peserta, Nurul Sorfina Muhamad Shukri dari Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin (SMSTSSS) berkata, pendedahan dan pengalaman yang diperoleh dari kem yang telah dua kali disertai itu membuka minda dan membantunya berubah menjadi individu yang lebih bertanggungjawab.

“Dulu, saya selalu membazirkan air khususnya ketika membasuh pakaian di asrama. Saya gemar membuka pili sepanjang masa membasuh dan nyata perbuatan itu tidak patut diamalkan kerana merugikan air.

“Saya mula sedar ketika menyertai kem ini dan dari situ belajar menjadi menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab terhadap sumber alam.,’’ katanya.

Pendapatnya turut disokong seorang lagi peserta, Ahmad Farihussolihin Ab. Hamid dari Sekolah Alam Shah yang berharap amalan baik dalam menjimatkan sumber air dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang tidak berkesempatan menyertai kem seperti mereka.

``Kami beroleh pelbagai manfaat dan pendedahan melalui kem ini dan bersedia menjadi egen perubahan untuk turut mengajak kawan-kawan mengamalkan budaya jimat air dalam kehidupan seharian.

``Selain itu, kem seumpama ini dapat meningkatkan semangat, jati diri dan mengasah bakat kepimpinan. Ia akan membantu untuk kami cemerlang dalam pembangunan sahsiah di samping kecemerlangan akademik,’’ katanya.

Beliau turut berpendapat, pendedahan oleh para pembimbing dalam kem tersebut turut membuka minda untuk mendekati bidang-bidang penting dalam mencorak kerjaya masa depan, termasuk potensi menjadi penyelidik, jurutera, ahli akademik dan sebagainya yang dapat mengamalkan prinsip kelestarian.

Dalam pada itu, seorang guru Sains dari SMSTSSS, Norazlina Zainon pula berkata, kem tersebut adalah satu inisiatif yang wajar diteruskan dan diperkembangkan ke tahap yang lebih luas kerana memberi manfaat yang cukup besar kepada pelajar dan para guru.

“Air adalah satu sumber yang terhad dan penggunaan yang berhemah dapat menyumbang kepada penjimatan sumber air untuk bekalan masa hadapan.

“Pendedahan yang diberikan dalam kem ini membantu pihak sekolah terutamanya para guru untuk mengamalkan langkah penjimatan air kepada kesemua warga sekolah dengan dibantu para peserta yang pernah menyertai kem seperti ini,’’ ujar beliau.

Program tersebut dirasmikan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Setiausaha Kehormat UNESCO-IHP Malaysia, Dato' Ir. Hj. Hanapi Mohamad Noor turut hadir ke program yang disertai oleh seramai 52 pelajar sekolah menengah dan 16 guru dari 16 buah sekolah ASP-Net dan Kelab Sejahtera seluruh negara itu. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Dzulfikar Azmi

  • Created on .
  • Hits: 1237

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024