USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UTAMAKAN PELAJAR MINAT ISU KELESTARIAN

 

TAIPING, 28 Jul 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sekadar melihat pencapaian akademik cemerlang semata-mata dalam memilih pelajarnya, malah turut melihat minat yang tinggi terhadap aspek lain termasuk kepimpinan dan kebolehan menjadi agen perubahan.

Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, USM bermatlamat membina individu yang mempunyai tiga jati diri unggul iaitu cemerlang akademik, minat yang tinggi dalam isu kelestarian dan kesejahteraan serta mampu memelihara sumber alam dengan baik.

Katanya, belia yang mempunyai kemahiran tinggi dan peka kepada isu-isu kelestarian amat penting untuk pembangunan masa hadapan negara dan menjadi asas kepada pembentukan komuniti yang bertanggungjawab.

“Kita harus sedar kepentingan generasi muda sebagai pemimpin masa hadapan dalam meneruskan kelestarian sumber, khususnya air yang menjadi nadi kepada kehidupan hidupan di muka bumi.

“Pemupukan budaya kelestarian sejak awal lagi amat penting dalam usaha memastikan generasi muda pada hari ini berupaya menjadi agen memacu pembangunan yang lebih mapan dan menitikberatkan pemeliharaan sumber dengan baik,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Kem Pemimpin Muda Prihatin Air- ESD, Sekolah-sekolah ASP-Net dan Kelab Sejahtera Peringkat Kebangsaan Tahun 2015 di Kompleks TM Taiping, di sini semalam.

Program anjuran Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE Penang) dengan kerjasama penuh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dan UNESCO-International Hydrological Programme (UNESCO-IHP Malaysia) itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang kepentingan air (sungai) dalam kehidupan, ekosistem sungai, kesan pembangunan setempat terhadap sumber air dan alam sekitar.

Setiausaha Kehormat UNESCO-IHP Malaysia, Dato' Ir. Hj. Hanapi Mohamad Noor turut hadir ke program yang disertai oleh seramai 52 pelajar sekolah menengah dan 16 guru dari 16 buah sekolah ASP-Net dan Kelab Sejahtera seluruh negara itu.

Omar juga berkata,  kem sumpama itu bertepatan dengan usaha ke arah membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang baik bagi membentuk masa depan yang lestari.

“Kem pemimpin muda prihatin berupaya melatih dan membolehkan pembelajaran berasaskan pengalaman ke arah memperkuatkan usaha memupuk kesedaran, nilai dan sikap yang baik dan betul terhadap air.

“Melalui kem seperti ini, daya kepimpinan berasaskan pembangunan lestari dapat dipupuk, selain menggalakkan kecekapan yang melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi seperti pemikiran kritis dalam membuat keputusan dengan cara yang kolaboratif berdasarkan isu air,” katanya.

Tambah beliau, program tahunan itu juga bertepatan dengan objektif penubuhan RCE Penang@USM yang memfokuskan pendidikan pembangunan lestari dalam kalangan murid sekolah, belia dan komuniti setempat. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin@Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1606

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024