INTEGRITI ASAS KEJAYAAN PEMIMPIN: PERKONGSIAN PRO CANSELOR USM
PULAU PINANG, 28 Julai 2015 - Seseorang yang bergelar pemimpin yang dilahirkan ataupun dibangunkan wajib mempunyai nilai integriti yang tinggi.
Demikian intipati perkongsian pengalaman Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur ketika dalam sesi 'Lesson of Success By A Leader' kepada para pemimpin pelajar ASEAN bersempena dengan Program ASEAN Future Leaders Summit (AFLES) 2015 di Dewan Budaya hari ini.
“Pemimpin yang baik akan menyumbang kepada sistem organisasi yang teratur jika mengaplikasikan kualiti integriti yang cemerlang sebaliknyq mereka yang mempunyai kelayakan yang cemerlang tetapi tidak mempunyai integriti, pemimpin tersebut akan tumbang kelak,” katanya.
Tambahnya lagi, governance ataupun tadbir urus di dalam sesebuah organisasi perlu diamalkan dan dilaksanakan dengan sehabis baik dan memerlukan kejujuran yang tinggi agar kejayaan dapat dicapai serta dipacu selaras dengan objektif organisasi tersebut, ditambah pula dengan pematuhan kepada nilai pengurusan sesebuah organisasi itu.
Katanya, seseorang bakal pemimpin sesebuah organisasi perlu mengenal pasti seorang Role Model untuk dijadikan sebagai kayu pengukur untuk mencapai kejayaan dalam kerjayanya sebagai pemimpin dan konsep ganjaran yang diberikan oleh sesebuah organisasi kepada individu perlulah didorong kepada asas mengukur prestasi individu tersebut di dalam organisasi.
“Sejajar dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, program seperti AFLES ini adalah satu titik tolak penting kepada komuniti di rantau ini untuk duduk bersama dan memikirkan hala tuju dan masa hadapan ASEAN dengan lebih mendalam,” tambahnya lagi.
Terdahulu sebelum sesi ini, Mustafa Mansur telah merasmikan Program AFLES 2015 peringkat USM.
Persidangan yang berlangsung selama 10 hari ini membawa para pemimpin pelajar dari 10 negara ASEAN seramai 160 orang ke empat lokasi iaitu Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prince of Songkla University (PSU) Thailand.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1307