USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUIZ ALAM SEKITAR TIMBUL KESEDARAN KELESTARIAN

 DSC9272fdghfd

PULAU PINANG, 25 julai 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan menganjurkan pertandingan akhir Kuiz Alam Sekitar Antara Sekolah-sekolah Menengah Negeri Pulau Pinang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Pertandingan yang melibatkan sebanyak 57 buah sekolah di sekitar negeri Pulau Pinang ini bermula sejak April tahun lepas melibatkan tiga kali peringkat saringan sebelum 20 buah sekolah dipilih untuk ke pertandingan akhir hari ini.

 DSC9243fghg

Menurut penganjur, Profesor Dr. Chan Ngai Weng, pertandingan yang julung kali diadakan ini adalah kerjasama di antara USM dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan Water Watch Penang.

"Melalui pertandingan seperti ini USM dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak NGO dalam memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menjaga alam sekitar selain dapat mengadakan hubungan dengan pihak sekolah untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah," ujarnya.

Tambahnya, pertandingan kuiz ini juga adalah salah satu daripada aktiviti yang dijalankan bersama dengan Water Watch Penang dan PBA dalam kajiannya tentang alam sekitar.

 DSC9274bbfb

 DSC9282dfgf

Johan pertandingan kuiz disandang oleh SMK Convent Pulau Tikus, tempat kedua SMJK Butterworth dan ketiga jatuh kepada SMK Dato’ Onn. Setiap pemenang membawa pulang baucer buku, sijil dan piala pusingan.

“Aktiviti ini sangat menarik dan kami merasa seronok kerana berpeluang menyertainya untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan alam sekitar,” ujar Nur Shuhada, 14, dari SMK Convent Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Pendapat itu dikongsi bersama Kho Jia Jia, 14 yang merasa bertuah kerana berpeluang menyertai pertandingan tersebut.

“Saya merasai satu pengalaman yang berharga kerana dapat mengetahui peranan air dalam memelihara alam sekitar dan amat penting untuk kita menjaga alam sekitar serta memastikannya tidak tercemar,” tambahnya.

 DSC9275dffgfg

Menurut Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan PBA, Puspalanadan A/L Krishnan pula, pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar bagi memastikan sistem air kita tidak tercemar adalah sebahagian tanggungjawab korporat pihak PBA, begitu juga pengetahuan mengenai pemuliharaan alam sekitar amat penting dalam kesejahteraan rakyat.

“Kami gembira kerana berpeluang menjadi sebahagian penganjur untuk pertandingan ini sebagai satu landasan dalam memberi kesedaran serta menambah pengetahuan tentang pemeliharaan alam sekitar dan air dalam kalangan pelajar sekolah,” ujarnya.

Pihak PBA menyumbang baucer buku yang bernilai RM2,000 kepada para pemenang kuiz pertandingan alam sekitar ini.

“Pihak kami juga sentiasa membuka peluang kepada pihak USM untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan alam sekitar dan pemeliharaan air dan berharap kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Teks: Syuhada Abdul Aziz/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 2731

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024