USM JALIN KOLABORASI BANTU PERKASA PENDIDIKAN KHAS
PULAU PINANG, 25 Julai 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menjalin kolaborasi untuk membantu memperkasa pendidikan khas untuk nembantu anak-anak istimewa di negara ini.
Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan merasmikan Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan (SKPKP) Kali ke-28 Tahun 2015 pagi ini.
Menurut Omar, USM menyokong penuh usaha meningkatkan kualiti pelajar merentasi apa jua perbezaan yang ada apatah lagi dalam kalangan mereka yang amat istimewa ini dan bersedia dengan segala kepakaran dan program yang ada terutamanya di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan mahupun dalam kalangan sukarelawan yang ada untuk bersama-sama turun padang membantu apa sahaja yang termampu.
"Sebagai sebuah universiti yang prihatin dan berusaha membantu masyarakat dalam semua golongan termasuk yang kelainan upaya dan istimewa untuk mengambil bahagian dalam proses pendidikan demi masa hadapan yang bermakna untuk semua, USM juga komited untuk melibat sama dalam program komuniti seperti ini di masa akan datang," tambahnya lagi.
Tambah Naib Canselor, SKPKP misalnya yang berlatarbelakangkan sekolah murid berkeperluan khas berpotensi dan berkebolehan melahirkan murid-murid yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah cemerlang juga dalam kegiatan sukan dan kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan mahupun antarabangsa.
Guru Besar SKPKP Norisham Abd Shukor pula berterima kasih kepada USM dan berharap kerjasama antara sekolah dan institusi pengajian tinggi seumpama ini dapat membuka satu lembaran baru untuk bekerjasama dalam bidang yang difikirkan sesuai.
"Saya berharap juga USM yang mempunyai kepakaran dan kemudahan bidang tertentu dapat membantu untuk kebaikan murid kelainan upaya ini, serta dapat juga membantu guru-guru pendidikan khas ini untuk tingkatkan kompetensi dan memberi impak dalam bidang pendidikan kurang pendengaran ini," tambahnya lagi.
Guru SKPKP, Mohd Husni Haji Mahamad, 26, amat berharap hubungan yang lebih akrab dapat dijalinkan antara USM dan SKPKP melalui pelbagai kolaborasi yang bersesuaian.
"Adalah juga menjadi harapan kami guru-guru dan murid-murid SKPKP untuk mendapat perhatian dan layanan yang sama rata agar dapat terus berjaya walaupun kelainan upaya," kata Mohd Husni.
SKPKP mempunyai 23 orang guru dan 33 orang pelajar kelainan upaya pendengaran.
Yang turut hadir ke temasya sukan ini adalah Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Dato' Saleena Yahaya-Isa.
Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1665