USM WUJUD PLATFORM LAHIRKAN PEMIMPIN PELAJAR ASEAN
NILAI, NEGERI SEMBILAN, 24 Julai 2015 - "Persidangan ASEAN Future Leaders Summit (AFLES) 2015 tahun ini amat bermakna dan bersejarah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai penganjur utama kerana mendapat penyertaan lebih daripada 160 orang pelajar dari negara ASEAN".
Hal ini dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein selepas perasmian AFLES 2015 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini.
Menurut Adnan, penganjuran kali ini yang mengumpulkan pelajar-pelajar ASEAN yang terpilih melalui merit tertentu dengan keupayaan sebagai seorang pemimpin dari negara masing-masing.
"Saya berharap intipati, perjalanan dan hubungan antara para pemimpin pelajar negara-negara terlibat dapat diperkukuhkan lagi dalam semangat persefahaman yang tinggi yang diterapkan antara USM dengan negara yang terlibat," tambahnya lagi.
Pengarah Projek AFLES 2015, Imran Sarwar, 32, berkata persidangan buat tahun ketiga ini bukan sahaja menitikberatkan soal kepimpinan, malahan juga soal kerja berpasukan melalui kolaborasi dan jaringan projek-projek berimpak tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar ASEAN yang akan dicadangkan ketika persidangan 10 hari ini.
"Melalui persidangan ini juga, USM dan Prince of Songkla University (PSU) Thailand akan mengadakan banyak projek kolaborasi yang bukan hanya tertumpu pada akademik malahan juga berfokuskan bidang penyelidikan dan khidmat komuniti sekaligus mengasah bakat kepimpinan pelajar-pelajar ASEAN melalui kerja berpasukan dan khidmat komuniti," tambahnya lagi.
Pelancaran AFLES ini dilakukan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan P. Panchanathan.
Teks dan Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah & Nor Rafizah Hj Zain.
- Created on .
- Hits: 1194