AFLES PERKUKUH JARINGAN PELAJAR IJAZAH TINGGI
NILAI, NEGERI SEMBILAN, 24 Julai 2015 - Kemajuan pendidikan tinggi negara-negara ASEAN dapat diperkukuhkan lagi melalui penganjuran ASEAN Future Leaders Summit 2015 (AFLES) kali ketiga yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Ijazah Tinggi Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Prince of Songkla University (PSU) Thailand, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun ini.
Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan P. Panchanathan ketika merasmikan program 10 hari tersebut, di sini.
"Program ini adalah bertepatan dengan pemilihan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini," tambahnya lagi.
Menurut P. Kamalanathan, dengan kehadiran wakil pelajar dan juga konsulat dari negara-negara ASEAN memberikan impak secara langsung kepada mereka mengenai perkembangan dan kemajuan pendidikan tinggi di Malaysia serta mempunyai hala tuju yang sama yang mencerminkan semangat sesama IPT untuk melihat kejayaan setiap universiti yang diterajui oleh Malaysia.
"Pada tahun ini, pihak sekretariat menerima 700 permohonan untuk menyertai AFLES hanya dalam masa tiga hari melalui promosi di laman sosial dan kami hanya memilih 160 delegasi daripada 10 negara ASEAN termasuk Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Vietnam, Singapura, Cambodia, Filipina, Myanmar, Laos dan Malaysia," ujar Pengarah Pejabat Antarabangsa USM Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali.
Manakala Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Mohd Majid Konting pula berkata, AKEPT
berperanan membantu dan menyokong aktiviti pendidikan sama ada secara formal atau pun tidak formal yang dianjurkan oleh institusi pendidikan dan penganjuran bersama AFLES 2015 adalah satu penghormatan kepada AKEPT.
Yang turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein serta konsulat negara-negara ASEAN. - Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1241